Khamis, 14 Januari 2021 | 10:55pm
Penderma darah dibenarkan merentas daerah dalam tempoh PKP dengan menunjukkan slip temu janji. - Foto hiasan NSTP
Penderma darah dibenarkan merentas daerah dalam tempoh PKP dengan menunjukkan slip temu janji. - Foto hiasan NSTP

Bekalan darah mencukupi

KUALA LUMPUR: Bekalan di Pusat Darah Negara kini pada paras bawah zon selamat, khususnya bagi jumlah stok darah jenis A dan O yang rendah.

Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Dr Tun Maizura Mohd Fathlullah, berkata penderma darah mesti tampil menderma darah, bagi kegunaan golongan yang memerlukan, selain mengelakkan bekalan darah turun ke paras kritikal.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, penderma darah dibenarkan hadir untuk menderma.

"Pemohonan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk Pusat Darah Negara dan tabung darah menjalankan kempen derma darah serta membenarkan penderma hadir, telah diluluskan.

"Penderma perlu membawa buku derma darah atau salinan slip janji temu menderma sebagai bukti perjalanan di sekatan jalan raya. Selain itu, kami turut merayu agar polis memudahkan proses pergerakan penderma," katanya hari ini.

Beliau berkata, sekiranya bekalan darah mencapai tahap kritikal, ia mampu bertahan untuk keperluan kurang lima hari, selain hanya mampu disalurkan bagi kegunaan kes-kes kecemasan sahaja.

Katanya, Pusat Darah Negara memerlukan sekurang-kurangnya antara 500 hingga 600 beg kutipan darah sehari, untuk menampung kegunaan darah di hospital seperti kes pembedahan, kemalangan, ibu mengandung dan pesakit Talasemia.

Dr Tun Maizura berkata, bekalan darah di pusat itu dan tabung darah di seluruh negara umumnya, menunjukkan trend penurunan sejak negara dilanda penularan COVID-19 dari tahun lepas, berikutan orang ramai khuatir dijangkiti wabak itu menerusi proses pendermaan darah, selain banyak program derma darah secara bergerak, terpaksa dibatalkan.

Beliau berkata, proses pendermaan darah ketika ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, bagi menjamin kesihatan penderma dan petugas daripada dijangkiti wabak itu.

"Penderma darah tidak perlu khuatir kerana proses menderma darah dilakukan penuh teliti dan mengamalkan norma baharu, seperti merekod suhu badan, malah kita turut membuat deklarasi saringan COVID-19 bagi setiap penderma yang hadir," katanya.

Orang ramai dan penderma darah boleh menderma di Pusat Darah Negara Jalan Tun Razak dan Pusat Darah Negara Donation Suite, Midvalley Megamall di Kuala Lumpur, serta Suite Derma Darah Puspanitapuri, Putrajaya, selain lokasi kempen derma darah anjuran Pusat Darah Negara dan tabung darah di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi Pusat Darah Negara atau www.pdn.gov.my. – BERNAMA

Berita Harian X