Isnin, 11 Januari 2021 | 10:18pm
Hanya pelajar duduki peperiksaan utama perlu ke sekolah. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Hanya pelajar duduki peperiksaan utama perlu ke sekolah. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.

PKP: Hanya pelajar duduki peperiksaan utama ke sekolah

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan secara bersemuka di enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah hanya membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia membabitkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa setara.

"Pelajar sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan itu, dibenarkan pulang ke asrama mulai Sabtu ini.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan sekolah bagi membolehkan mereka merentas negeri atau daerah pulang ke asrama.

"Semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dalam negeri dikenakan PKP, akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini.

"Ketetapan ini juga terpakai kepada pelajar Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional," kata kenyataan itu.

Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan Satu, kata kenyataan itu, calon berdaftar yang belum menduduki pentaksiran akan mengikutinya antara 20 hingga 29 Januari ini.

Bagi kemasukan ke Tingkatan Empat, KPM berkata, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari 2021 dan surat kebenaran khas akan dikeluarkan bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran ditetapkan.

"Bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

"Guru yang terbabit dengan senarai peperiksaan utama 2020 dan 2021 dalam kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya.

KPM berkata, pelajar Kolej Matrikulasi dalam kawasan PKP yang kini berada di kolej, perlu kekal di asrama masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Katanya, bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai Ahad ini.

"Semua taman didikan kanak-kanak (TADIKA) swasta yang berdaftar dengan KPM, boleh terus beroperasi secara bersemuka," katanya.

Sementara itu, KPM berkata, bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian itu dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar, termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

KPM menyarankan semua ketetapan ini turut diikuti sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.

"KPM akan sentiasa mengambil langkah perlu, selaras Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan," katanya.

Berita Harian X