Isnin, 11 Januari 2021 | 2:50pm
Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 di Serdang. - Foto Ihsan KKM
Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 di Serdang. - Foto Ihsan KKM

COVID-19: Tetapkan pesakit tahap satu, dua kuarantin di rumah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mengubah dasar membabitkan pesakit COVID-19 dengan menetapkan pesakit tahap satu dan dua tidak perlu ke hospital, sebaliknya hanya dikuarantin di rumah.

Pesakit COVID-19 tahap satu merujuk pada individu dijangkiti yang tidak bergejala dan tahap dua pula adalah bergejala ringan.

Perubahan dasar itu perlu bagi mengurangkan beban petugas kesihatan, selain mengelak fasiliti kesihatan seperti katil, ruang wad dan alat bantuan pernafasan melebihi tahap maksimum jika kes baharu terus merekodkan pertambahan mendadak.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, katanya pesakit tahap satu dan dua boleh dikuarantin di rumah kerana tidak memerlukan pemantauan doktor.

"Kita harap dasar ini diubah dan hanya masukkan pesakit yang teruk ke hospital kerana jumlah pesakit baharu ketika ini terlalu ramai dan fasiliti tidak mencukupi.

"Ketika ini, kira-kira 70 hingga 80 pesakit adalah dalam tahap satu dan dua. Tiada keperluan untuk mereka memenuhi hospital, cukup dikuarantin di rumah dengan kawalan kendiri," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini mengenai kes COVID-19 diunjur mencecah 8,000 sehari pada Mac jika nilai kebolehjangkitan (RO) melepas kadar 1.2.

Khamis lalu, Malaysia merekodkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi dengan 3,027 jangkitan sejak ia mula dikesan di negara ini pada 25 Januari tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, perubahan dasar itu perlu disusuli tindakan memperketatkan prosedur dan pengawasan bagi individu yang dikuarantin di rumah.

"Kuarantin di rumah perlu diperketat dan pengecualian hanya kepada kes tertentu seperti individu tiada rumah, warga asing atau rumah terlalu sesak. Mereka ini boleh ditempatkan di pusat kuarantin," katanya.

Langkah ketiga bagi mengatasi lonjakan kes, tegasnya, adalah menambah jumlah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di setiap negeri.

Ketika ini, katanya, ada pesakit tahap rendah di Melaka dilaporkan terpaksa ditempatkan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Selangor atau pesakit di Bentong dihantar ke Kuantan.

"Ini tidak praktikal kerana pesakit terpaksa menempuh perjalanan dalam dua jam, lebih baik dibuat seperti pusat pemindahan banjir iaitu PKRC ditambah di negeri.

"PKRC ini boleh menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, jadi ia tidak membebankan jumlah petugas perubatan kerajaan," katanya.

Berita Harian X