Sabtu, 9 Januari 2021 | 2:13pm
Hajiji (duduk kanan) dan Bung Moktar Radin (kiri duduk) pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Politik Gabungan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.- Foto/ Mohd Adam Arinin
Hajiji (duduk kanan) dan Bung Moktar Radin (kiri duduk) pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Politik Gabungan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.- Foto/ Mohd Adam Arinin

GRS tak terpengaruh dengan pergerakan politik di Semenanjung

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor memberi jaminan kerjasama politik yang membentuk kerajaan negeri menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan terpengaruh dengan pergerakan politik di Semenanjung.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, semua parti dalam gabungan itu sudah mencapai kata sepakat tidak mahu sebarang kekacauan politik di Semenanjung menular ke Sabah.

"Kita lihat politik Sabah dalam konteks negeri kita saja. Kita tidak boleh terpengaruh dengan pergerakan politik yang berlaku di Semenanjung.

"Kita perlu teruskan mandat diberikan rakyat dan tidak timbul isu kita terpengaruh dengan perkara berlaku di Semenanjung.

"Tidak kira apa yang berlaku di Semenanjung, ia tidak akan mengganggu kita (GRS)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama GRS dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) parti komponen gabungan itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sejauh mana GRS mampu bertahan sebagai satu kerjasama politik dalam situasi politik di peringkat persekutuan yang kurang stabil ketika ini.

Hajiji berkata semua parti dalam GRS bersetuju untuk memastikan kerjasama yang dimeterai melalui MoU hari ini diteruskan dan dikukuhkan lagi.

"Kita pastikan kerjasama ini dikukuhkan lagi dan kita menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan ini," katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, berkata UMNO Sabah juga sudah menyatakan komitmen untuk memastikan kedudukan GRS sebagai kerajaan negeri terus dipertahankan.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pihaknya sudah menjelaskan pendirian berhubung kerjasama dengan semua parti dalam GRS.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata UMNO Sabah tetap komited dengan pendirian itu dan membangunkan negeri sebagai keutamaannya.

"Pendirian kita jelas, keputusan ialah untuk mempertahankan kerajaan GRS. UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sepakat untuk mempertahankan GRS dan keutamaan untuk membangunkan Sabah.

"Jadi tidak timbul soal sama ada kita melanggar MoU atau tidak kerana kita berpegang kepada persefahaman yang dijalin sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Sekarang masa untuk melaksanakan amanah diberikan rakyat," katanya.

Berita Harian X