Khamis, 7 Januari 2021 | 2:18pm
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali. - NSTP/NST/Khairul Azhar Ahmad
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali. - NSTP/NST/Khairul Azhar Ahmad

UMNO, BERSATU perlu segera selesaikan kemelut hubungan kerjasama

KUALA LUMPUR: UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu segera menyelesaikan kemelut hubungan kerjasama antara mereka bagi mengelakkan negara berterusan digugat ketidakstabilan politik yang merugikan rakyat.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata hasil mesyuarat kedua-dua parti itu, malam tadi, bagaimanapun sedikit sebanyak melegakan rakyat.

"Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Ketua Penerangan parti masing-masing, sekurang-kurangnya pertembungan hebat antara dua parti itu tertangguh buat masa ini.

"Malah, kenyataan BERSATU dilihat tidak terlalu keras terhadap UMNO dan ini menunjukkan kematangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang tidak cepat melatah.

"Oleh itu, kedua-dua parti perlu duduk semeja mencari kata sepakat kerana yang rugi ialah rakyat jika situasi politik negara tidak stabil seperti yang berlaku pada awal tahun lalu," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mazlan berkata, UMNO juga tiada banyak pilihan ketika ini walaupun menuntut supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.

Jika UMNO menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekalipun, beliau berkata, belum tentu PRU akan diadakan berikutan negara masih berdepan ancaman COVID-19, selain banjir di beberapa negeri.

"Walaupun jika kerajaan PN jatuh, belum tentu Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk PRU diadakan dan UMNO menyedari hakikat itu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban, Mujibu Abd Muis, berkata keputusan mesyuarat dua parti berkenaan dilihat tergantung kerana UMNO dan BERSATU saling mahu melihat reaksi satu sama lain.

"Pada dasarnya, kedua-dua parti masih bergantung harap antara satu sama lain kerana kerajaan PN memerintah dengan majoriti yang tipis.

"UMNO pula jelas dengan pendirian mereka bahawa kerjasama politik dalam PN hanya untuk membentuk kerajaan bagi menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

"Berdasarkan hasil mesyuarat pada malam tadi, masing-masing dilihat menunggu reaksi dan tindak balas satu sama lain," katanya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, dalam kenyataan dikeluarkan sejurus selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi, memaklumkan bahawa usul memutuskan hubungan dengan BERSATU sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS, akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada hujung bulan ini.

Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), malam tadi pula berkata tindakan beberapa pihak secara berterusan melakukan percaturan politik ketika rakyat sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19 dan bencana banjir, disifatkan sebagai tidak kena pada masanya, tanpa menyebut mengenai hubungan dengan UMNO.

Berita Harian X