Rabu, 6 Januari 2021 | 6:59pm
Tahap pematuhan IWK kepada Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) adalah pada tahap 97.1 peratus, lebih tinggi daripada pencapaian tahap pematuhan 96 peratus pada 2019 - FOTO Indah Water Konsortium
Tahap pematuhan IWK kepada Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) adalah pada tahap 97.1 peratus, lebih tinggi daripada pencapaian tahap pematuhan 96 peratus pada 2019 - FOTO Indah Water Konsortium

IWK bukan punca gangguan bekalan air di Selangor

SYARIKAT perkhidmatan pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) sering dituduh menjadi penyebab pencemaran air di Selangor terutama pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan media pada 5 November 2020, IWK adalah antara syarikat yang dikatakan bertanggungjawab terhadap isu gangguan bekalan air Selangor.

Walau bagaimanapun, penutupan loji rawatan Air Selangor pada September 2019 bukan disebabkan IWK tetapi adalah disebabkan pencemaran bau akibat pembuangan sisa haram ke dalam sistem pembetungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water, Narendran Maniam, berkata IWK sudah melakukan yang terbaik untuk melindungi dan memelihara alam sekitar, terutama sumber air di negeri ini.

"Apabila isu ini diperbesarkan tanpa menjelaskan keadaan sebenar, IWK dilihat sebagai pelaku pencemaran itu," katanya.

Dakwaan itu berkait rapat dengan isu gangguan pada saliran sisa air di saluran paip pembetungan Indah Water yang rosak berpunca daripada kerja-kerja pemasangan utiliti bawah tanah oleh kontraktor pihak ketiga pada September 2019.

Sebagai tindak balas, Indah Water segera mengaktifkan paip pintas kecemasan sementara untuk mengelakkan limpahan.

Narendran turut menegaskan, bahawa masalah seperti ini dapat dielakkan jika semua pihak mematuhi piawaian untuk tidak membuang sisa terlarang terus ke pembetung awam.

Berdasarkan rekod semasa, isu gangguan air akibat pencemaran dilihat terus meningkat dan terbaru dilaporkan pada 7 Disember 2020. 

Ia membabitkan Loji Rawatan Air Fasa 1, 2 dan 3 Sungai Selangor dan Loji Rawatan Air Rantau Panjang yang tidak dapat menampung tahap pencemaran air mentah yang tinggi berikutan aktiviti perindustrian di sepanjang sungai.

Kawalan kualiti

Setakat ini, IWK menjalankan operasi dan penyelenggaraan ke atas 8,147 asetnya yang merangkumi LRK dan stesen pam hampir di seluruh negara.

Operasi yang dijalankan oleh IWK perlu mematuhi syarat-syarat dan piawaian ketat yang ditetapkan oleh pihak kawalselia berkaitan.

Malah, sehingga September 2020, pematuhan IWK kepada Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) adalah pada tahap 97.1 peratus, satu pencapaian yang lebih tinggi daripada pencapaian tahap pematuhan 96 peratus pada 2019.

Selain itu, terdapat juga punca pencemaran lain di negeri Selangor terutamanya daripada tangki septik individu (IST), tangki septik komunal (CST) dan saliran keluar lain yang tidak diselenggara dengan baik.

Mengikut rekod, apabila IWK diberi mandat untuk mengurus dan mengoperasikan sistem pembetungan nasional, Selangor mencatat peningkatan yang signifikan dengan tahap pematuhan pada kadar 97 peratus.

Selangor juga merekodkan penyambungan pembetungan yang jauh lebih baik iaitu 90 peratus, berbanding 83 peratus sekitar 10 tahun yang lalu.

Tanggungjawab bersama

Image

Menurut Institusi Jurutera Malaysia (IEM), semua pihak termasuk masyarakat setempat dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan untuk menjaga kualiti sumber air di negara kita.

Orang ramai disaran melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak bertanggungjawab.

Pihak berkuasa perlu melaksanakan kempen bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesan pembuangan sisa terlarang ke dalam longkang dan sungai di negara ini. 

Selain itu, IEM menegaskan bahawa penguatkuasaan dan tindakan awal perlu dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi memastikan sisa pencemaran dapat dikesan lebih awal sebelum ia memasuki loji rawatan air.

Berdasarkan beberapa laporan sebelum ini, bahan pencemar sudah memasuki loji rawatan air pada saat pencemaran dikesan.

Ia membolehkan loji rawatan air menerima amaran awal atau penyangga waktu sekali gus dapat bertindak balas dan memaklumkan mengenai jadual pemulihan gangguan air kepada pelanggan tepat masa.

Ini kerana masa yang diperlukan untuk pemulihan perkhidmatan bagi setiap gangguan bekalan air mengambil sehingga empat hari. 

Pada masa sama, IEM bersedia bekerjasama memperbaiki sistem bekalan air kerana terdapat pelbagai kemudahan kejuruteraan yang tersedia untuk memendekkan tempoh pemulihan perkhidmatan.

Bagi menggiatkan usaha mengekang pencemaran air di negara ini, IEM menyokong sepenuhnya inisiatif oleh semua pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS), Air Selangor dan lain-lain.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman web Indah Water.

 

Berita Harian X