Rabu, 30 Disember 2020 | 6:22pm
PKRC 2.0 menyediakan lima dewan yang mempunyai kapasiti 8,028 katil untuk kegunaan pesakit COVID-19 kategori satu. - Foto Jabatan Penerangan Selangor
PKRC 2.0 menyediakan lima dewan yang mempunyai kapasiti 8,028 katil untuk kegunaan pesakit COVID-19 kategori satu. - Foto Jabatan Penerangan Selangor

PKRC 2.0 sasar 10,000 katil pesakit COVID-19

SERDANG: Sebuah lagi dewan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan dibuka bagi menampung peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARDI Corp, Zaidi Shahrin, berkata dewan yang sebelum ini digunakan sebagai universiti itu mampu menempatkan 1,800 katil bertingkat.

Katanya, kerja mengubah struktur dalaman dewan kepada hospital akan mengambil tempoh selama seminggu, sebaik keputusan muktamad dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkaitan.

"Setakat ini, kita menyediakan lima dewan yang mempunyai kapasiti 8,028 katil untuk kegunaan pesakit COVID-19 kategori satu.

"Sasaran kita ialah untuk menyediakan lebih 10,000 katil selaras perkembangan semasa yang menyaksikan kes COVID-19 semakin meningkat, sekali gus menambah beban kepada aspek kesihatan awam.

PKRC 2.0 di MAEPS Serdang akan dibuka bagi menampung peningkatan kes COVID-19 di negara ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
PKRC 2.0 di MAEPS Serdang akan dibuka bagi menampung peningkatan kes COVID-19 di negara ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

"Justeru, menerusi pembukaan satu lagi dewan ini, sasaran 10,000 katil itu berupaya dicapai dan kita bersedia untuk menambah kemudahan penempatan sekiranya wujud permintaan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH, di sini hari ini.

Zaidi berkata sebuah kawasan khas yang dijadikan penempatan pasukan keselamatan, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut disediakan.

Petugas berpakaian lengkap PPE yang bertugas di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - Foto Ihsan Jabatan Penerangan Selangor
Petugas berpakaian lengkap PPE yang bertugas di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - Foto Ihsan Jabatan Penerangan Selangor

Selain itu, katanya, bekalan makanan sebanyak empat kali sehari disediakan kepada petugas, manakala pesakit diberikan sajian yang disyorkan pasukan perubatan sebanyak tiga kali sehari.

"Berbeza dengan PKRC 1.0 yang menerapkan keselesaan dan berkonsep wad hospital kelas satu, PKRC 2.0 kini lebih mengutamakan kapasiti kerana kes positif terlalu banyak.

"Bagaimanapun, aspek keselesaan masih terjamin dan kita sediakan pelbagai kemudahan kepada pesakit," katanya.

Berita Harian X