Rabu, 30 Disember 2020 | 6:18pm
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 menampilkan kelainan dengan menekankan konsep komuniti atau ‘perkampungan’. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 menampilkan kelainan dengan menekankan konsep komuniti atau ‘perkampungan’. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pusat Kuarantin Risiko Rendah 2.0 terap konsep perkampungan, komuniti

SERDANG: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 menampilkan kelainan dengan menekankan konsep komuniti atau 'perkampungan'.

Pakar Perubatan Kecemasan PKRC 2.0, Dr Fariza Anis Md Tahir, berkata pelbagai kemudahan turut disediakan sepanjang 10 hari pesakit ditempatkan di kompleks yang mempunyai keluasan 1,300 meter itu.

Katanya, penjagaan kesihatan dan pemantauan dijalankan setiap hari bagi mengenal pasti pesakit yang mengalami perubahan kategori gejala.

"Sejak beroperasi semula pada 9 Disember lalu, PKRC 2.0 sudah menempatkan seramai 12,297 pesakit kategori satu, setakat semalam.

"Sehingga kini, hanya seorang pesakit yang didapati mengalami perubahan kategori, semalam dan dihantar ke hospital kerana memerlukan bantuan pernafasan.

"Justeru, pesakit tidak perlu risau kerana kita ada cara tersendiri jika mereka mengalami perubahan kategori," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH, di sini hari ini.

Petugas berpakaian lengkap PPE memantau kemasukan pesakit warga asing di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - Foto Jabatan Penerangan Selangor
Petugas berpakaian lengkap PPE memantau kemasukan pesakit warga asing di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - Foto Jabatan Penerangan Selangor

Petugas berpakaian lengkap PPE yang bertugas di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Petugas berpakaian lengkap PPE yang bertugas di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Berdasarkan perangkaan setakat semalam, seramai 9,110 individu positif COVID-19 kategori satu dibenarkan pulang, justeru PKRC 2.0 kini hanya menempatkan 3,029 pesakit.

Menerusi pengalaman, Dr Fariza berkata lebih 90 peratus pesakit daripada kelompok bukan warganegara yang didapati positif COVID-19 berada dalam kategori satu.

Susulan itu, katanya, petugas perubatan akan melakukan pemantauan tahap kesihatan dan memastikan supaya mereka tidak mengalami sebarang perubahan kategori gejala.

"Oleh itu, menerusi konsep komuniti atau perkampungan ini, kita sediakan klinik kesihatan dalam setiap dewan di mana mereka ditempatkan.

Petugas berpakaian lengkap PPE yang bertugas di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - Foto Jabatan Penerangan Selangor
Petugas berpakaian lengkap PPE yang bertugas di PKRC 2.0 di MAEPS Serdang. - Foto Jabatan Penerangan Selangor

"Sekiranya mempunyai sebarang masalah, mereka boleh berjumpa dengan petugas perubatan dan kita akan selesaikan mengikut prosedur sedia ada.

"Berbeza dengan konsep awal ketika PKRK 1.0, kali ini kita terapkan konsep komuniti yang membolehkan mereka berhubung supaya tidak rasa terasing.

"Bersandarkan maklumat terkini COVID-19, pesakit akan dibenarkan pulang selepas 10 hari dari tempoh calitan diambil kerana tiada lagi risiko untuk menjangkiti orang lain," katanya.

Berita Harian X