Selasa, 29 Disember 2020 | 5:28pm

142 ditahan ingkar PKPP

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa menahan 142 individu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesemua 142 individu ditahan dikenakan tindakan kompaun.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk 78 gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan; tidak memakai pelitup muka (53); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (sembilan) dan kesalahan lain-lain (dua).

"Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 40,152 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP, semalam.

"Sebanyak 2,805 pasukan pematuhan membabitkan 12,136 anggota membuat pemantauan di 3,401 pasar raya; 4,567 restoran; 1,807 penjaja; 1,402 kilang; 3,205 bank dan 611 pejabat kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas Operasi Benteng (Op Benteng), Ismail Sabri berkata, seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas pasukan keselamatan, semalam.

"Semalam, pasukan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) melaksanakan 110 sekatan jalan raya di seluruh negara.

"Sebanyak 38 sekatan jalan raya dilaksanakan menerusi Op Penawar oleh PDRM, ATM dan RELA; Op Benteng PDRM (62) dan Op Benteng AKSEM (sembilan)," kata beliau.

Sementara itu, katanya sebanyak 14,090 pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membabitkan 8,027 tapak binaan di seluruh negara sejak 20 April lalu sehingga semalam.

"Semalam, anggota penguatkuasa membuat pemeriksaan di sembilan tapak binaan di seluruh negara dan kesemuanya mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Berita Harian X