Isnin, 28 Disember 2020 | 1:55pm

Sediakan platform doktor pelatih lapor insiden buli tanpa jejas identiti

KUALA LUMPUR: CUEPACS meminta Kementerian Kesihatan (KKM) merangka dan menyediakan platform membolehkan doktor pelatih dan petugas kesihatan lain yang menjadi mangsa buli mengutarakan masalah mereka tanpa menjejaskan identiti dan kedudukan.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata KKM juga perlu melatih dan memberi penekanan kepada penyelia mengenai budaya buli hingga memberi kesan buruk.

"Setiap penyelia seharusnya mempunyai empati terhadap doktor pelatih atau kakitangan diselia dan tidak bertindak mengikut emosi.

"KKM diharapkan dapat bekerjasama dengan CUEPACS dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) secara berterusan bagi membendung masalah ini kerana budaya buli boleh menjadi virus menjejaskan nilai, etika serta moral pekerja.

"Sudah tiba masanya kerajaan dan KKM bertindak tegas dalam mengatasi masalah ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini, BH melaporkan kes buli yang berlaku kepada doktor pelatih termasuk diherdik dengan perkataan bodoh, dipukul dengan fail di depan pesakit dan difitnah mempunyai masalah disiplin.

Lebih menyeksakan apabila ada juga dalam kalangan doktor berdepan situasi gangguan seksual sehingga menyebabkan mereka berasa gusar setiap kali ingin pergi ke tempat kerja.

Gejala itu turut diakui Timbalan Presiden, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta yang mengakui kewujudan kes buli dalam kalangan doktor pelatih, malah ia sudah berlarutan sekian lama.

Adnan turut meminta KKM mengemukakan data mengenai budaya buli dalam kalangan doktor mahupun petugas kesihatan lain termasuk jumlah kes diselesaikan serta tindakan diambil.

Beliau berkata, pihaknya mengambil perhatian serius mengenai laporan kajian daripada MMA mengenai gejala buli terhadap pengamal perubatan.

Kajian dijalankan MMA itu mendedahkan sebanyak 69.9 peratus doktor mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas di sektor awam terutama golongan muda berusia 26 hingga 35 tahun.

"Kami bimbang gejala buli ini akan menjadikan emosi dan kualiti kerja pengamal perubatan terjejas.

"Gejala buli ini bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja mangsa, bahkan merisikokan nyawa pesakit yang menerima rawatan daripada doktor yang menjadi mangsa buli ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap siasatan mendalam dilakukan bagi memastikan gejala buli ini dicegah dengan lebih berkesan, selain dapat menyelesaikan aduan yang timbul.

Berita Harian X