Ahad, 27 Disember 2020 | 11:00am
66.9 peratus doktor akui pernah dibuli ketika bertugas
66.9 peratus doktor akui pernah dibuli ketika bertugas

66.9 peratus doktor akui pernah dibuli ketika bertugas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 66.9 peratus doktor di negara mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas di sektor awam dengan golongan paling ramai berdepan situasi itu adalah mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun.

Berdasarkan statistik hasil daripada kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), sebanyak 52.9 daripada 66.9 peratus doktor dalam lingkungan usia terbabit iaitu mereka yang selalunya berada pada fasa doktor pelatih melalui pengalaman pahit itu.

Kajian terbaharu itu dijalankan MMA membabitkan 1,800 responden terdiri daripada doktor pelatih, pegawai perubatan dan pakar muda berusia di bawah 26 tahun hingga 46 tahun ke atas secara dalam talian.

Presiden MMA, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata kesan daripada perbuatan itu, sebanyak 75 peratus responden ketika ditanya mengakui berasa tawar hati atau hilang minat untuk bekerja dan 80 peratus mengakui selalu berada dalam kebimbangan.

Beliau berkata, 50 peratus responden yang ditanya tidak bersemangat untuk membantu orang lain, 48 peratus mengurangkan masa mereka di tempat kerja, 38 peratus mengurangkan kualiti mereka di tempat kerja.

"Hasil kajian yang dilakukan MMA mendapati, 61.96 peratus berdepan pembulian secara emosi, 20.08 secara fizikal, 7.89 peratus secara lisan, 5.39 peratus secara seksual dan 4.68 peratus lain-lain.

"Agak mengejutkan apabila perbuatan buli atau gangguan ini turut dialami oleh golongan doktor yang sudah lama bekerja iaitu berusia 46 tahun ke atas iaitu 1.4 peratus daripada keseluruhan responden.

"Sebanyak 6.7 peratus kes buli atau gangguan pula membabitkan golongan doktor di bawah usia 26 tahun dan 5.9 peratus pula berusia 36 hingga 45 tahun, " katanya kepada BH, di sini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata, daripada 66.9 peratus responden yang berdepan situasi dibuli atau diganggu, 43.1 peratus membabitkan doktor wanita sekali gus menunjukkan golongan itu paling terdedah untuk berdepan risiko berkenaan.

Beliau berkata, 53 peratus perbuatan itu dilakukan oleh doktor di tempat kerja manakala enam peratus bukan dalam kalangan doktor dengan baki 41 peratus diakui dilakukan oleh kedua-dua golongan itu.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata, kes buli membabitkan doktor pelatih atau junior sudah kerap dilaporkan dan sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan disiplin serius terhadap pelaku termasuk ditamatkan perkhidmatan mereka.

"Sudah banyak kes buli dan gangguan dilaporkan termasuk sebelum ini membabitkan gangguan seksual dan buli oleh seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang namun tiada tindakan tegas diambil terhadap pelaku, " katanya.

Beliau berkata, di pihak MMA, pertubuhan itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan talian komunikasi dikenali sebagai 'HELPDOC' sebagai inisiatif untuk membantu golongan doktor yang berdepan masalah di tempat kerja termasuk dibuli atau diganggu.

Sejak diwujudkan pada 2017, hingga kini pihaknya menerima kira-kira 100 aduan yang direkodkan daripada doktor.

"Sebaik sahaja menerima aduan, maklumat akan dihantar kepada pasukan petugas sebelum dibawa ke peringkat seterusnya termasuk KKM sebelum isu diselesaikan dalam tempoh biasanya dua minggu," katanya.

Rabu lalu, media melaporkan seorang bekas doktor pelatih berusia 20-an ditemui mati di kediamannya di Bukit Jambul di Pulau Pinang, dipercayai membunuh diri, tiga minggu selepas berhenti kerja.

Mangsa yang melanjutkan pelajaran di Manipal Medical Institute dan tamat pengajian pada 2018, dilaporkan berhenti kerja sebagai doktor pelatih di sebuah hospital awam di Pulau Pinang dipercayai tidak tahan akibat dibuli.

Seorang doktor yang enggan dikenali dipetik sebagai berkata, kes buli doktor pelatih sudah berlarutan sejak sekian lama berikutan persekitaran kerja yang membebankan.

Berita Harian X