Khamis, 24 Disember 2020 | 5:59pm

PKPD Taman Telipok Ria di Sabah tamat

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria di Tuaran, Sabah ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati baki kes aktif di lokaliti berkenaan semakin terkawal.

Beliau berkata, kes jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit juga menunjukkan aliran menurun.

"Sejak PKPD di taman itu dilaksanakan pada 27 November lalu, KKM sudah melaksanakan ujian saringan ke atas 9,065 individu dan 806 kes disahkan positif COVID-19," katanya pada sidang media mengenai PKP, hari ini.

Katanya, PKPD di Taman Telipok Ria sepatutnya berakhir pada 10 Disember, tetapi dilanjutkan lagi sehingga 24 Disember.

Sehingga 22 Disember lalu, beliau berkata, KKM melaksanakan 9,065 ujian saringan dan secara kumulatif, sebanyak 806 kes positif COVID-19 direkodkan.

"Bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini semakin terkawal dan menunjukkan trend penurunan.

"Atas nasihat KKM, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam bersetuju untuk menamatkan PKPD di Taman Telipok Ria pada 24 Disember seperti yang dijadualkan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 18,000 penduduk Taman Telipok Ria berada di kawasan yang dikenakan PKPD itu.

Kawasan berkenaan menempatkan sebanyak 30 blok rumah pangsapuri dan 3,400 unit kediaman dengan keluasan sehingga 28 hektar dan difahamkan lokasi PKPD terbesar di Sabah.

PKPD Taman Telipok Ria di Sabah tamat.
PKPD Taman Telipok Ria di Sabah tamat.
Berita Harian X