Selasa, 22 Disember 2020 | 7:07pm
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sinergi SULAM secara hibrid di Putrajaya hari ini. - Foto Ihsan KPT
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sinergi SULAM secara hibrid di Putrajaya hari ini. - Foto Ihsan KPT

Perkasa sinergi IPT, industri melalui program SULAM

PUTRAJAYA: Kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT) bersama industri dan agensi kerajaan perlu terus diperkasa untuk membantu menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata perkara itu selari dengan matlamat digariskan pihaknya melalui program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang digerakkan.

"SULAM yang menggabungkan objektif pembelajaran bersama khidmat komuniti, mengetengahkan pendekatan Amalan Pembelajaran Berimpak Tinggi (HIEPs) yang memberikan ruang kepada pelajar berinteraksi dengan komuniti.

"Pada masa sama, pelajar berpeluang menjalinkan kerjasama strategik dengan industri serta agensi kerajaan, yang mana sinergi ini bermatlamatkan menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti setempat dengan menghubung kait teori dan praktis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sinergi SULAM yang berlangsung secara hibrid yang turut dihadiri pemimpin universiti, industri dan agensi di di kementeriannya hari ini.

Program Sinergi SULAM diadakan secara kerjasama membabitkan Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA) di Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) selaku sekretariat program.

Pada majlis itu, Noraini turut melancarkan tiga inisiatif SULAM iaitu SULAM-Net, e-SULAM Ideation, Invention and Innovation Challenge (INNOVATE) dan Portal SULAM.

Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) bersama pengurusan tertinggi universiti dan KPT pada Majlis Pelancaran Sinergi SULAM secara hibrid di Putrajaya hari ini. - Foto Ihsan KPT
Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) bersama pengurusan tertinggi universiti dan KPT pada Majlis Pelancaran Sinergi SULAM secara hibrid di Putrajaya hari ini. - Foto Ihsan KPT

Noraini berkata, program seumpama SULAM sudah mula bertunas sekitar 2019 di IPT termasuk melalui Projek Pembangunan Komuniti, Eko Warisan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat di Kota Tinggi, Johor.

"Program ini membabitkan 200 pelajar pelbagai bidang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA); Pejabat Daerah Kota Tinggi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang.

"Dengan potensi dimiliki komuniti setempat di pulau ini, saya berharap hasrat murni UTM melakarkan Pulau Tanjung Surat dalam peta dunia sebagai sebuah pulau eko warisan pelancongan bakal menjadi kenyataan," katanya.

Selain projek itu, beliau berkata, beberapa lagi projek SULAM dilaksanakan di peringkat IPT, antaranya Program Komuniti Budaya dan Etnik Bidayuh Borneo yang diadakan pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Projek Pengurusan Kesihatan Ikan Siakap oleh pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM pula menjalankan Projek Pemerkasaan Solok Sengkuang Cabin D'Village di Kampung Batang Nyamor, Negeri Sembilan.

"Sehingga kini terdapat 445 program akademik di Universiti Awam sudah pun melaksanakan projek SULAM dan berjaya menyantuni pelbagai komuniti di bandar dan luar bandar membabitkan Orang Asli dan anak yatim," katanya.

Menyentuh tiga inisiatif SULAM dilancarkan hari ini, Noraini berkata, SULAM-Net adalah sebuah jaringan kerjasama antara IPT, industri, agensi kerajaan dan komuniti dalam memperkasa pelaksanaan SULAM di peringkat nasional.

"e-SULAM INNOVATE pula membabitkan pertandingan bagi mencabar inovasi pelajar dalam pelaksanaan SULAM di IPT.

"KPT juga membangunkan Portal SULAM bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai termasuk industri dan agensi mengetahui dan menyertai kolaborasi inisiatif berkenaan," katanya.

Berita Harian X