X
Selasa, 22 Disember 2020 | 5:42pm

Rayuan haji menerusi aplikasi THiJARI

KUALA LUMPUR: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu lagi membuat surat rayuan untuk mengerjakan haji sebaliknya boleh membuat rayuan menggunakan aplikasi THiJARI.

Pendeposit boleh membuat rayuan haji bagi tahun 2021 atau 1442H yang dibuka bermula hari ini sehingga 13 Februari tahun hadapan, melalui aplikasi itu.

Kemudahan terbaharu TH itu dibina untuk membantu orang ramai, khususnya kepada mereka yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri, berkata mereka yang ingin membuat rayuan tidak perlu lagi ke pejabat TH, seperti sebelum ini.

"Selain rayuan, aplikasi ini dibangunkan untuk membantu bakal haji menyemak pendaftaran haji, status rayuan, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai perkhidmatan lain dengan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di Menara TH, hari ini.

Aplikasi itu juga membolehkan bakal haji menyemak pendaftaran haji, status rayuan haji, status tawaran haji serta perkhidmatan lain seperti urusan simpanan dan pengeluaran TH.

Zulkifli (dua dari kiri) melancarkan aplikasi THiJARI di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Zulkifli (dua dari kiri) melancarkan aplikasi THiJARI di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Muzakarah bertema 'Menghayati Istito' ah Haji dalam Menangani Wabak' itu diadakan dalam talian selama tiga hari membabitkan 500 Pengkrusus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) serta pakar agama bagi menetapkan pendirian ibadat, keseragaman hukum-hakam serta penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah.

Dalam muzakarah itu, sebanyak lima kertas dibentang dan dibincangkan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Ibadat Haji yang meliputi isu kemampuan mengerjakan haji ketika tempoh COVID-19.

Sebahagian peserta mengikuti Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 bagi musim haji 1442H secara maya di Menara TH Tun Razak - NSTP/Aswadi Alias
Sebahagian peserta mengikuti Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 bagi musim haji 1442H secara maya di Menara TH Tun Razak - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X