Jumaat, 18 Disember 2020 | 9:52pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua, kanan) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Rohaizat Yon (depan, kiri) ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua, kanan) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Rohaizat Yon (depan, kiri) ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA

10,000 katil di PKRC MAEPS 2.0 dijangka siap Jumaat depan

SERDANG: Keseluruhan kapasiti 10,000 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0) dijangka dapat disiapkan Jumaat depan bagi menampung pertambahan jumlah pesakit COVID-19 bukan warganegara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pengaktifan semula PKRC MAEPS 2.0 yang memfokuskan kepada pesakit COVID-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan bukan warganegara, adalah berikutan peningkatan kes yang mendadak dan hasil pelaksanaan saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Ini adalah antara usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini dengan menyediakan pusat kuarantin yang lebih kondusif untuk pesakit ini," katanya dalam ucapan ketika melakukan lawatan ke PKRC MAEPS 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Ini kerana kerajaan menyedari bahawa terdapat kekangan daripada pihak majikan untuk menyediakan prasarana untuk proses kuarantin pekerja di bawah seliaan mereka, katanya.

Beliau berkata penempatan katil di PKRC MAEPS 2.0 itu dibuat dalam tiga fasa, dengan anggaran 3,000 katil bagi fasa 1, 3,300 katil bagi fasa 2 dan 3,700 katil bagi fasa 3.

Berikutan kapasiti besar di kawasan itu, Dr Noor Azmi berharap Jawatankuasa PKRC MAEPS 2.0 turut mengambil perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan petugas khususnya yang berhadapan secara langsung dengan pesakit positif COVID-19.

"Ini kerana, seperti kita semua sedia maklum, waktu rehat petugas amat minimum akibat keperluan yang berkehendakkan mereka untuk bertugas dalam jangka waktu yang lama di MAEPS ini. Mereka meninggalkan anak dan keluarga masing-masing demi memberikan khidmat kepada negara," katanya.

Beliau berharap jawatankuasa itu dapat memberikan keselesaan dan kemudahan seperti talian internet yang pantas supaya mereka dapat bersemuka dengan keluarga masing-masing dengan kaedah maya bagi mengubati kerinduan. – BERNAMA

Berita Harian X