X
Jumaat, 18 Disember 2020 | 8:15pm
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan membuat saringan COVID-19 ke atas penduduk Kuantan pada 16 Disember 2020 yang mengunjungi sebuah restoran. - Foto BERNAMA
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan membuat saringan COVID-19 ke atas penduduk Kuantan pada 16 Disember 2020 yang mengunjungi sebuah restoran. - Foto BERNAMA

Petugas kesihatan perlu amal SOP

PUTRAJAYA: Semua petugas kesihatan sama ada di sektor awam mahu pun swasta dinasihatkan sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan membabitkan amalan mencegah penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pematuhan terhadap SOP itu perlu sentiasa diamalkan sama ada di tempat kerja mahupun ketika berada di tempat lain.

Beliau berkata, kepatuhan itu sangat penting diamalkan khususnya dalam kalangan petugas kesihatan yang berkhidmat di zon merah berikutan kebarangkalian untuk mendapat jangkitan daripada komuniti tinggi.

Katanya, pengamalan norma baharu secara berkala serta penguatkuasaan di setiap fasiliti kesihatan akan meningkatkan lagi kepatuhan dalam kalangan petugas kesihatan.

"Selain itu, orang awam juga dinasihatkan untuk mengehadkan lawatan ke hospital-hospital.

"Ia bukan sahaja dapat memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk menjalankan tugas mereka, malah dapat melindungi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik lain daripada jangkitan COVID-19.

"KKM sangat prihatin terhadap peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan ini dan akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan penularan COVID-19 di negara ini, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan ada lima hospital di Lembah Klang didapati melaporkan penularan COVID-19 ketika ini, dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu sebanyak 54 kes.

Secara kumulatif pula, terdapat 1,771 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan sejak akhir Januari lalu hingga hari ini dengan 1,359 atau 76.7 peratus daripada kes-kes dilaporkan berlaku ketika gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Ia termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kementerian itu ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak perlu bimbang mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan di fasiliti-fasiliti kesihatan kerana situasi jangkitan di hospital dalam keadaan yang terkawal.

Orang awam juga diingatkan untuk meneruskan amalan norma baharu bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan COVID-19.

Berita Harian X