Jumaat, 18 Disember 2020 | 7:33pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19 menular di 5 hospital di Lembah Klang

PUTRAJAYA: Lima hospital di Lembah Klang melaporkan penularan COVID-19 dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 54 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerima laporan sebanyak 29 kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Serdang.

Beliau berkata, pihaknya mengesan 15 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur (10 kes), Hospital Ampang (lima kes) dan Hospital Selayang (empat kes).

"Peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti.

"Situasi seumpama ini, iaitu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan pernah dialami di Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti berlaku di sana.

"Bagaimanapun, kes-kes di kesemua hospital terbabit masih dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan," katanya dalam satu kenyataan media mengenai penularan COVID-19 di negara ini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, seramai 1,771 pekerja penjagaan kesihatan disahkan positif COVID-19.

Daripada jumlah itu, 1,359 jangkitan dikesan ketika gelombang ketiga pandemik bermula 20 September lalu.

Berita Harian X