Rabu, 9 Disember 2020 | 8:00pm

3,100 pelajar IPTA, IPTS terima Bantuan Awal Pengajian

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini menyalurkan RM3.1 juta Bantuan Awal Pengajian (BAP) disasarkan kepada pelajar dalam kalangan keluarga B40 untuk menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah.

Kira-kira 3,100 pelajar daripada 13 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) terpilih akan menerima bantuan sekali bayar berjumlah RM1,000 setiap seorang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata BAP adalah alternatif dan usaha terbaik bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman.

"Saya percaya BAP dapat membuka peluang besar kepada pelajar baru menyambung pengajian dan sekurang-kurangnya dapat membantu sebelum mereka menerima mana-mana bantuan atau dana lain.

"Pemberian ini amat besar ertinya kepada mereka yang memerlukan dan dengan bantuan ini diharap dapat menampung keperluan tambahan seperti membeli peralatan menulis, buku-buku dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) 2020 Kepada IPTA/IPTS, di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussain Akhtar Hussin.

Sementara itu, Noraini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana kementerian atau agensi khususnya dalam bentuk penajaan, latihan industri dan perkongsian kepakaran.

"KPT amat berterima kasih kepada MEDAC kerana sebelum ini turut melaksanakan program KPT-MEDAC Siswapreneur yang menawarkan pembiayaan mikro kredit kepada usahawan pelajar.

"YBR pula meneruskan obligasi sosial melalui BAP yang diperkenalkan sejak 2018 dan seramai 5,309 pelajar telah mendapat manfaat dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM 6.24 juta," katanya.

Noraini turut berharap lebih banyak pihak tampil termasuk sektor korporat, swasta dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) untuk sama-sama menyantuni golongan memerlukan.

Pada majlis itu, sebanyak 13 IPTA dan IPTS terpilih menerima replika cek berjumlah RM100,000 untuk disalurkan kepada pelajar yang telah dikenal pasti memerlukan bantuan kewangan.

Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) adalah penerima tunggal bagi IPTS, manakala 12 penerima lain dalam kalangan IPTA iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP),Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pada majlis sama, MEDAC turut menyalurkan sumbangan program pendidikan kepada lima rumah kebajikan terpilih dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM316,920.

Berita Harian X