Jumaat, 4 Disember 2020 | 2:16pm

Sarjan Norihan dijangka keluar hospital

ALOR SETAR: Anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Sarjan Norihan Tari, 39, yang parah akibat serangan di Padang Besar minggu lalu, dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam tempoh terdekat.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintendan Rosman Kasman, berkata Norihan sudah boleh bercakap, makan dan minum serta berjalan.

"Norihan sudah tidak bergantung kepada bantuan pernafasan dan tiub yang dipasang di abdomennya sudah dikeluarkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun Rosman berkata, setakat ini lawatan masih belum dibenarkan.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi 24 November lalu, Norihan dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berbalas tembakan ketika bertempur dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis yang menyaksikan Baharuddin terkorban.

Berita Harian X