Khamis, 3 Disember 2020 | 3:53pm
 Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sesi penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat hari ini. - foto BERNAMA
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sesi penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat hari ini. - foto BERNAMA

RM233.4 juta dijimatkan daripada peruntukan penganjuran APEC - Azmin

KUALA LUMPUR: Peruntukan penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dapat dijimatkan sebanyak RM233.4 juta selepas format persidangan dilaksanakan secara maya berikutan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peruntukan asal bagi penganjuran persidangan itu adalah RM350 juta yang mana dibahagikan mengikut tiga fasa.

Fasa pertama RM20 juta disalurkan bagi 2019; RM300 juta untuk 2020 dan selebihnya RM30 juta untuk tahun 2021.

"Hanya RM66.6 juta sahaja digunakan yang meliputi penyaluran kepada tiga (3) kementerian lain berjumlah RM13.1 juta iaitu RM7 juta untuk Kementerian Kewangan; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (RM4.1 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM2 juta).

"Baki sebanyak RM53.5 juta dibelanjakan bagi penganjuran persidangan APEC di pelbagai peringkat termasuk mesyuarat peringkat Menteri berkaitan sektor Perdagangan, Kesihatan, Kewangan, Wanita, Perusahaan Kecil dan Sederhana, Keselamatan Makanan serta Mesyuarat-mesyuarat Pegawai Kanan yang bermula seawal Disember 2019," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi MITI.

Isu mengenai peruntukan APEC itu dibangkitkan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang ingin tahu mengapa MITI menetapkan peruntukan RM25 juta dalam anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 bagi persidangan itu sedangkan ia berlangsung secara dalam talian pada November lalu.

Azmin menjelaskan peruntukan untuk APEC itu bukan ditentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya ditetapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika meluluskan peruntukan Penganjuran APEC 2020 berjumlah RM350 juta pada 12 Julai 2019.

Katanya, penyaluran pada tahun 2019 adalah bagi membiayai kerja-kerja persediaan awal manakala penyaluran pada tahun 2020 adalah untuk menampung penganjuran sebenar Persidangan APEC sepanjang tahun 2020.

"Peruntukan pada 2021 pula adalah bagi menampung pembayaran akhir segala komitmen kontrak yang masih berkuat kuasa selepas Persidangan APEC 2020 serta menyelesaikan segala proses dokumentasi APEC 2020 bagi tujuan arkib dan pengauditan," katanya.

Beliau menjelaskan hanya meneruskan apa yang sudah diputuskan kerajaan PH dan perkara berkenaan perlu diajukan kepada bekas Menteri MITI, Datuk Darell Leiking (WARISAN-Penampang) dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Jawapan Mohamed Azmin ini menyebabkan Guan Eng bangun mencelah dan menyatakan kenyataan itu sebagai tindakan mengacau beliau.

Guan Eng juga mencelah mahu mengetahui adakah tindakan yang diambil kerajaan PH mengurangkan peruntukan untuk APEC daripada RM635 juta dikurangkan kepada RM350 juta tindakan yang salah, Azmin menjelas beliau tidak mempertikaikan perkara itu sebaliknya dibangkitkan Tuaran (Madius) dan Ong Kian Ming (PH-Bangi).

Mengulas lanjut, Azmin menjelaskan Malaysia berjaya menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC dan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC pada 20 November lalu.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 146 mesyuarat dan program-program berkaitan di pelbagai peringkat telah diadakan sepanjang tahun penganjuran APEC 2020.

"Penjimatan berjumlah RM233.4 juta telah dipulangkan kepada Kementerian Kewangan untuk menyokong usaha-usaha pemulihan ekonomi melalui beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.

Katanya, berdasarkan Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat, dana sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk menampung kos Persidangan APEC 2020 yang meliputi emolumen yang perlu dibayar dan kos operasi bagi tahun 2021 berjumlah RM5.02 juta.

Kontrak penjenamaan pula telah berkuat kuasa mulai November 2019 dan hanya akan berakhir pada Januari 2021 yang mana terdapat baki yang perlu dibayar berjumlah RM16.2 juta daripada jumlah keseluruhan kontrak bernilai RM49.5 juta.

"Bagi kontrak laman sesawang yang bermula pada Julai 2019 dan akan berakhir pada Jun 2021, baki yang perlu dibayar pada tahun 2021 adalah berjumlah RM63,494 daripada nilai kontrak bernilai RM634,940.

"Kontrak belian media yang dimeterai pada Disember 2019 kini berbaki sebanyak RM3.71 juta perlu dilunaskan pada tahun 2021. Secara keseluruhannya, sebanyak RM24.99 juta diperlukan bagi melunaskan baki pembayaran yang perlu dibuat pada tahun 2021.

"Ingin saya tekankan di sini bahawa sekiranya semua komitmen kontrak tidak dijelaskan, pihak Kerajaan akan berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada pihak penyedia perkhidmatan yang mana akan menyebabkan bebanan kewangan yang lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X