Jumaat, 27 November 2020 | 1:21pm
Taman Telipok Ria, Sabah jalani PKPD, bermula hari ini hingga 10 Disember depan.-Foto/NSTP
Taman Telipok Ria, Sabah jalani PKPD, bermula hari ini hingga 10 Disember depan.-Foto/NSTP

18,000 penduduk Taman Telipok Ria jalani PKPD bermula hari ini

TUARAN: Kira-kira 18,000 penduduk Taman Telipok Ria, dekat sini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini sehingga 10 Disember depan.

Sebanyak 30 blok rumah pangsapuri dan terdapat 3,400 unit kediaman, iaitu kawasan PKPD itu mempunyai keluasan sehingga 28 hektar, difahamkan lokasi PKPD terbesar di Sabah.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata semua jalan utama bagi tujuan keluar masuk di kawasan berkenaan ditutup sepenuhnya sepanjang pelaksanaan PKPD.

Mohd Hamizi berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPD di lokaliti terbabit memberi pengecualian kepada seorang daripada setiap rumah membeli barangan keperluan asas, selain urusan mengeluarkan duit.

"Mereka hanya dibenarkan membeli barangan di kedai dalam kawasan PKPD. Semua premis perniagaan di sini akan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang.

"Kita akan membuka pasar basah dua kali seminggu bermula jam 6 pagi sehingga dua petang bagi memudahkan penduduk membeli barangan keperluan basah termasuk ikan, ayam, dan sayur-sayuran.

"Penduduk di sini juga tidak perlu bimbang walaupun mereka dikatakan hilang punca rezeki. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan bakul makanan di kawasan terjejas sepanjang PKPD," katanya selepas meninjau pemasangan pagar kawat berduri di sekitar Taman Telipok Ria, hari ini.

Proses pemasangan membabitkan 220 gelung pagar kawat berduri sekitar lokaliti itu dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mohd Hamizi berkata, penugasan PKPD di Taman Telipok Ria adalah 24 jam setiap hari membabitkan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan ATM.

Berita Harian X