Jumaat, 27 November 2020 | 12:25am
PENGARAH Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya. FOTO NSTP
PENGARAH Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya. FOTO NSTP

JIPS PDRM dalam proses tambah anggota

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses menambah keanggotaannya bagi memantapkan fungsi jabatan berkenaan.

Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya, berkata sebanyak 427 daripada 1,900 jumlah permohonan penambahan anggota bagi jawatan di jabatan itu diluluskan setakat ini.

"Sebelum permohonan dibuat, jumlah keanggotaan JIPS adalah 2,000 anggota yang bermakna nisbahnya ialah seorang anggota JIPS bagi 67 warga PDRM lain, yang pada pendapat saya tidak mencukupi.

"Penambahan 427 diluluskan dan pengisian hampir selesai dan kita akan pergi kepada pengisian peringkat kedua," katanya.

Zamri berkata, jumlah keanggotaan sedia ada menyebabkan JIPS mewujudkan keutamaan dan melakukan pemeriksaan rawak dalam usaha memperkasa dan mengukuhkan integriti warga PDRM.

Beliau berkata, JIPS juga dalam perancangan mewujudkan kira-kira 70 jawatan bertaraf detektif bagi memastikan tugas dan tanggungjawab jabatan itu dapat dijalankan dengan lancar.

Mengulas mengenai antara cabaran utama dihadapi JIPS, beliau mengakui ia adalah bagi menukar stigma masyarakat yang menganggap ada sebahagian anggota pasukan keselamatan itu gemar menerima sogokan atau rasuah.

"JIPS akan terus berusaha menukar stigma ini namun apa yang lebih penting ia harus bermula dari 'self check' (muhasabah diri) dalam diri seseorang pegawai mahupun anggota bagi memastikan mereka dipandang tinggi dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata, antara kejayaan JIPS ialah membuka semula kes yang ditutup seperti dalam satu kejadian seorang wanita pekerja pusat hiburan dipukul majikannya kerana tidak mahu melayan kehendak majikannya itu.

"Apabila JIPS membuat pemeriksaan, didapati kes itu ditutup oleh pegawai yang menyiasat kes itu. Selepas siasatan lanjut, majikannya itu didakwa manakala pegawai berkenaan dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

Beliau berkata, dalam satu lagi kes, seorang anggota didapati memiliki wang berjumlah beberapa juta ringgit di dalam akaunnya dan apabila ditanya anggota itu menyatakan tidak mengetahui sumber wang itu serta bagaimana ia boleh masuk ke dalam akaunnya.

"Siasatan mendapati dia terbabit dengan sindiket jenayah dan akhirnya anggota itu dikenakan tindakan buang kerja," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X