Khamis, 26 November 2020 | 3:19pm
KETUA Polis Perlis, Datuk Surina Saad.- Foto ARKIB NEGARA
KETUA Polis Perlis, Datuk Surina Saad.- Foto ARKIB NEGARA

Kes serang anggota PGA: Polis perhebat buru saki-baki penyeludup

KANGAR: Polis memperhebatkan gerakan memburu saki-baki anggota kumpulan penyeludup yang dipercayai terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, dua hari lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata suspek utama, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dekat sini pada jam 10 malam tadi.

"Suspek utama bersama dua lelaki warga tempatan dan seorang suspek warga Thailand direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Disember," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Terdahulu, perintah reman terhadap empat lelaki berusia 26 hingga 45 tahun terbabit dikeluarkan Pendaftar Majistret Kangar Monica Joseph Gaisah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Surina berkata, gerakan memburu saki-baki ahli kumpulan penyeludup terbabit dibantu Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan percubaan membunuh," katanya.

Dalam insiden awal pagi Selasa lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh, manakala rakannya, Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup.

Kejadian kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 (tembok sempadan) di Padang Besar.

Mendiang Baharuddin dari suku kaum Semelai, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Norihan yang sebelum ini dirawat di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Semalam, 15 warga tempatan diperintah ditahan direman selama empat hari, manakala tiga rakyat Thailand direman seminggu bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA

Berita Harian X