Rabu, 25 November 2020 | 5:21pm
PENGARAH Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. - Foto BERNAMA
PENGARAH Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. - Foto BERNAMA

Polis siasat dua ASP, 4 anggota didakwa curi RM1.6 juta

KUALA LUMPUR: Polis masih menyiasat laporan sepasang suami isteri yang mendakwa wang tunai RM1.6 juta dan barang berharga milik mereka yang dirampas dalam satu serbuan oleh sekumpulan anggota pasukan itu di Bukit Segambut, di sini, dua minggu lalu, tidak dikembalikan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan empat anggota ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.

"Buat masa ini, siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Polis Kontinjen Kuala Lumpur. JIPS masih menunggu laporan penuh siasatan berkenaan.

"Bagi JIPS, apa yang paling penting adalah melihat semula prosedur operasi standard (SOP) operasi berkenaan, sama ada pegawai dan anggota terbabit mematuhi arahan yang ditetapkan semasa serbuan," katanya dalam temu bual khas bersama media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam serbuan pada 12 November lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul didakwa menahan pasangan suami isteri warga China dan dua pemandu mereka selain merampas wang tunai dan beberapa barang berharga, termasuk barang kemas.

Difahamkan, serbuan ke sebuah unit kediaman itu dilakukan dilakukan susulan maklumat berkaitan kes penipuan.

Pasangan suami isteri berkenaan yang kemudian dibebaskan, mendakwa wang tunai RM1.6 juta serta barangan berharga tidak dipulangkan, kecuali beberapa barang peribadi.

Zamri berkata, antara SOP penting perlu dipatuhi dalam setiap operasi serbuan adalah merekodkan setiap barangan berharga yang dirampas dengan saksinya adalah individu yang diperiksa atau ditahan.

"Selepas itu, individu terbabit akan tandatangan borang senarai barang dirampas bagi memastikan tiada kehilangan barang berharga," katanya menambah, JIPS Bukit Aman akan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti pegawai dan anggota terbabit melakukan kesalahan.

Katanya, pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan bukan sahaja boleh dibuang kerja atau digantung tugas, tetapi turut berdepan tindakan mengikut Kanun Keseksaan.

Berita Harian X