Rabu, 25 November 2020 | 5:01pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

2 lokaliti baharu PKPD mulai Jumaat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi selama 14 hari berkuat kuasa Jumaat ini hingga 10 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selain kawasan taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim di Kedah, PKPD akan turut dikuatkuasakan di Taman Telipok Ria di Tuaran, Sabah.

Mengulas lanjut, katanya bagi Mukim Sungai Seluang, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan 197 ujian saringan secara bersasar dengan 50 kes positif COVID-19 direkodkan.

"Berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di taman-taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim selama 14 hari bermula 27 November hingga 10 Disember ini.

"Pelaksanaan PKPD ini membabitkan 1,412 rumah dengan anggaran 6,000 penduduk," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Mengenai Taman Telipok Ria di Tuaran pula, beliau memaklumkan PKPD itu akan membabitkan kawasan seluas 229,459 meter persegi meliputi 3,400 unit rumah dan 18,000 penduduk.

"Sehingga 22 November lalu, KKM sudah melaksanakan 2,609 saringan dan merekodkan 253 kes positif COVID-19.

"Sehingga kini, terdapat 581 sampel saringan yang masih menunggu keputusan. Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas bersetuju untuk laksana PKPD di lokaliti terbabit," katanya.

Berita Harian X