Rabu, 25 November 2020 | 4:18pm

PARLIMEN: "Tolong dengar saya cakap boleh tak?"

KUALA LUMPUR: Isu masa sekali lagi menjadi topik hangat sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 hari ini, sehingga mendorong Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, meninggikan suaranya.

Situasi itu berlaku ketika Azhar menjelaskan peraturan berkaitan penggulungan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum diganggu oleh Sim Tze Tzin (PH--Bayan Baru) yang mempersoalkan tempoh masa celahan.

Perkara itu jelas kurang disenangi Azhar, lalu menegur dalam nada agak tinggi.

"Tolong dengar saya cakap boleh tak? Saya tengah bercakap sekarang," katanya, membuatkan dewan senyap serta-merta.

Terdahulu, Anwar bangun mencelah sejurus Azhar menjemput Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, memulakan sesi penggulungan bagi kementeriannya.

Anwar menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat terlalu keras dalam bertindak kerana tidak membenarkan Ahli Parlimen mencelah dan bertanyakan soalan ketika sesi penggulungan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, sebelum itu.

"Saya fikir pendirian Yang Dipertua begitu keras sehingga puluhan orang yang nak bercakap tidak dapat bercakap.

"Saya bantah. Kalau Yang Dipertua begitu keras halang Ahli Yang Berhormat bangun mengutarakan isu yang penting, ini saya tidak setuju," katanya.

Bagaimanapun Azhar menegaskan tempoh itu adalah waktu untuk menteri membuat penggulungan dan bukan lagi sesi perbahasan.

"Sekarang perbahasan dah tamat. Pencelahan perlu mengikut Peraturan Mesyuarat, hanya untuk penjelasan dan bukan untuk berbahas. Perbahasan sudah berlaku, sekarang ialah masa menjawab oleh menteri," katanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, M Karupaiya (PH-Padang Serai) pula bangun melahirkan rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat peluang berbahas.

"Yang Dipertua, inilah masa kita nak tanya dan soal menteri, kita tak dapat peluang berbahas kerana hanya 82 orang yang berbahas," katanya.

Sambil berulang kali melihat jam di dinding merentasi tempat duduknya, Azhar tegas menjawab: "Itu yang awak silap YB (Yang Berhormat).

"Peluang untuk bertanya soalan ialah pada masa perbahasan, waktu perbahasan sudah tamat dan sekarang ialah masa untuk menteri menjawab," katanya sambil meminta penggulungan dimulakan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. - NSTP/Asyraf Hamzah
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X