Rabu, 25 November 2020 | 12:40pm
Pelajar IPTS bakal peroleh wang pendahuluan PTPTN mulai tahun depan. - Fail NSTP
Pelajar IPTS bakal peroleh wang pendahuluan PTPTN mulai tahun depan. - Fail NSTP

PARLIMEN: Wang pendahuluan PTPTN diperluas untuk pelajar IPTS

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memperluaskan pemberian wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) khususnya daripada kumpulan B40.

tMenteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pemberian wang pendahuluan itu dibuat berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai tahun depan.

Katanya, KPT juga bersetuju menaikkan kadar pinjaman PTPTN setiap semester daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi peminjam B40 melanjutkan pengajian peringkat diploma di IPTS, tertakluk simpanan bertakaful oleh pihak IPTS bermula tahun depan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh lanjutan moratorium ketiga pinjaman PTPTN, Noraini berkata, KPT sudah mengambil tindakan awal berbincang dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.

"Sebelum ini kerajaan bersetuju menangguhkan pembayaran balik PTPTN bermula April sehingga September dan menyambung moratorium kali kedua mulai Oktober sehingga Disember ini.

"Jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik bagi dua moratorium ini adalah RM1.125 billion, memanfaatkan 1.5 juta peminjam.

"Walaupun penangguhan diberi, seramai 422,609 peminjam masih meneruskan bayaran balik berjumlah RM595 juta bagi tempoh April hingga Oktober lalu," katanya.

Berkaitan peruntukan kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM), beliau berkata, pengurangan peruntukan hanya RM4 juta atau 0.18 peratus dan ia akan ditampung oleh kementerian melalui penjimatan dalaman yang dilaksanakan.

Katanya, peruntukan pembangunan diterima UiTM dalam Belanjawan 2021 adalah lebih tinggi berbanding peruntukan 2020.

Bagi 2020, katanya, UiTM diperuntukkan sebanyak RM877.1 juta manakala untuk tahun depan, UiTM mendapat RM901.42 juta iaitu peningkatan 2.77 peratus.

Justeru, tegasnya, kebajikan warga UiTM menjadi keutamaan KPT selain jaminan 100 peratus untuk menyalurkan peruntukan emolumen kepada kakitangan akademik.

Katanya, ia turut membabitkan jaminan pembayaran gaji dan emolumen kepada kakitangan kontrak (EKK) akan turut dibiayai oleh kerajaan.

Noraini berkata, KPT memperuntukkan RM41.2 juta bagi bantuan kepada pelajar B40 termasuk bantuan pelan data berjumlah RM24 juta kepada 320,396 pelajar universiti awam (UA).

Setakat ini, katanya, seramai 225,784 pelajar menerima bantuan kad sim dan 94,612 pelajar menerima bantuan berbentuk tunai bagi pembelian pelan data, selain bantuan pemilikan peranti dengan peruntukan RM13.4 juta yang memanfaatkan 8,965 pelajar UA.

"Bantuan tunai RM50 seorang secara one-off turut diberi kepada 76,153 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2020/2021, membabitkan peruntukan RM3.8 juta," katanya.

Berita Harian X