Rabu, 25 November 2020 | 10:58am
Penjadualan semula kalendar akademik membolehkan silibus kursus dilaksanakan. - Foto hiasan
Penjadualan semula kalendar akademik membolehkan silibus kursus dilaksanakan. - Foto hiasan

PARLIMEN: Tiada kursus UA tertangguh

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 tidak menangguhkan mana-mana kursus di universiti awam (UA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata semua UA sudah membuat penjadualan semula kalendar akademik masing-masing bagi memastikan pelajar dapat menghabiskan silibus diperlukan.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memberi kelonggaran kepada lima kategori pelajar berkeperluan seperti tiada akses internet dan sebagainya untuk pulang ke kampus secara berperingkat.

"UA juga diminta membuat perancangan jadual akademik dengan rapi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika berlaku sebarang senario seperti makmal penuh dan sebagainya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Noor Amin Ahmad (PKR-Kangar) yang meminta jaminan KPT bagaimana pelajar dapat menghabiskan silibus dan mendapat pembelajaran berkualiti seperti di institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan situasi semasa COVID-19.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, antara kategori pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat adalah kumpulan pasca siswazah mod penyelidikan dan pelajar semester tahun akhir bagi pengajian di peringkat sijil, diploma serta ijazah sarjana muda.

"Pelajar tahun akhir yang tidak memiliki akses internet di kampung halaman dan pelajar keperluan khas yang mengikuti program penyelidikan latihan teknikal dan vokasional di Politeknik dan Kolej Komuniti juga dibenar pulang ke kampus.

"Selain itu, pelajar kemasukan baharu bagi sesi 2020/2021 di semua UA, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti turut dibenar berada di kampus," katanya.

Menjawab soalan asal Noor Amin berhubung jumlah pelajar yang sepatutnya mendaftar di UA pada Oktober lalu, Noraini berkata, ia sepatutnya membabitkan 435,994 pelajar.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 111,009 orang atau 25.5 peratus adalah mahasiswa baharu manakala 324,985 lagi mahasiswa yang akan menyambung pengajian bagi semester berikutnya bagi Sesi Akademik 2020/2021.

"Sehingga 24 November lalu, seramai 44,188 pelajar UA masih berada di kampus bagi meneruskan pembelajaran masing-masing," katanya.

Berita Harian X