Jumaat, 20 November 2020 | 5:42pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: Pertimbang lebih banyak calon pembekal vaksin

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempertimbang lebih banyak calon pembekal vaksin COVID-19, khususnya di rantau Asia Pasifik.

Felo Kanan Akademi Sains Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, berkata ini berikutan ada pelbagai vaksin terbabit sedang dibangunkan di Asia Pasifik.

Malah, katanya, Singapura dijangka memperoleh bekalan vaksin sendiri menjelang awal tahun depan.

Beliau memaklumkan, ia adalah hasil penyelidikan dijalankan oleh National University of Singapore dan sebuah syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Arcturus Therapeutics.

"Institut Serum India, iaitu pengeluar vaksin terbesar dunia pula memiliki sekurang-kurang dua calon vaksin tempatan yang sedang dibangunkan.

"Negara lain terbabit dalam penyelidikan vaksin termasuk Indonesia, Thailand, Australia, Jepun dan China, yang memiliki lima calon vaksin dalam percubaan klinikal Fasa Tiga di negara luar meliputi Emiriah Arab Bersatu, Brazil, Pakistan serta Peru," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Asia Pasifik memainkan peranan sangat kritikal dalam pembangunan vaksin kerana 36 peratus pengeluar sektor kecil dan institusi akademik adalah daripada rantau itu.

"Saya berharap ada antara vaksin terbabit boleh didapati menjelang tahun depan, sekali gus menyediakan akses lebih mudah untuk negara serantau," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pfizer dilapor berharap dapat membekalkan 50 juta dos vaksin menjelang akhir ini, namun ia hanya mencukupi untuk 25 juta penduduk kerana membabitkan dua dos suntikan.

"Pada 2021, sasaran pembekalan ialah hingga 1.3 bilion dos. Dunia memerlukan vaksin untuk 7 bilion penduduk bagi membolehkan 'herd community' diwujudkan pada peringkat global," katanya.

Berita Harian X