Selasa, 17 November 2020 | 1:22pm

ABPBH 33 rekod 6 juta penonton

KUALA LUMPUR: Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 yang menerapkan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) dalam penganjurannya, Jumaat lalu, merekodkan enam juta penonton.

Malam kemuncak ABPBH 33, Jumaat lalu dikendalikan mengikut SOP ketat ditetapkan MKN dan KKM.
Malam kemuncak ABPBH 33, Jumaat lalu dikendalikan mengikut SOP ketat ditetapkan MKN dan KKM.

Mengikut data Nielsen Malaysia, ABPBH 33 yang mengangkat Haqiem Rusli sebagai Bintang Paling Popular, merekodkan 43 peratus syer penonton ketika bersiaran, menandingi pelbagai program lain yang ditayangkan pada waktu sama.

Sumber Nielsen Malaysia juga menunjukkan malam kemuncak ABPBH 33 yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, mencatat peningkatan 200,000 penonton, berbanding ABPBH 32.

Selain pencapaian rating televisyen (TV), ABPBH 33 yang dibawa Xiaomi, meraih peningkatan jumlah tontonan strim langsung di YouTube TV3 Malaysia dengan menjana 700,000 tontonan, iaitu 104,000 tontonan lebih tinggi berbanding ABPBH 32.

ABPBH 33 yang menjadi penanda aras dalam penganjuran acara anugerah berteraskan norma baharu, dilangsungkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi lain.

Kenyataan media dikeluarkan TV3 menyebut, malam kemuncak ABPBH 33 mematuhi garis panduan dan SOP ditetapkan MKN serta KKM dengan ketat, sepanjang tiga jam bersiaran.

Pada malam itu, Haqiem yang turut meraih trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan kategori online, Lagu Paling Boom Popular bagi single Lembah Kesepian, diumumkan mengumpul 22,332,676 undian lalu dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Ini adalah jumlah undian tertinggi direkodkan dalam sejarah penganjuran ABPBH.

Dengan kemenangan itu, Haqiem menerima hadiah utama kereta ‚ÄčNissan LEAF Serba Baharu dengan kuasa elektrik 100 peratus dan sifar emisi, bernilai RM181,263 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dan trofi.

Malam kemuncak ABPBH 33 disiarkan secara langsung oleh TV3 serta saluran Tonton, YouTube TV3 dan BH, termasuk laman web ABPBH di www.abpbh.com.my.

Malam bersejarah acara anugerah berprestij ini juga ditonton menerusi laman aplikasi TikTok buat pertama kali.

Haqiem bersama trofi dan hadiah utama kereta Nissan LEAF yang dimenanginya pada malam kemuncak ABPBH 33, Jumaat lalu. Foto NSTP
Haqiem bersama trofi dan hadiah utama kereta Nissan LEAF yang dimenanginya pada malam kemuncak ABPBH 33, Jumaat lalu. Foto NSTP
Berita Harian X