Jumaat, 13 November 2020 | 9:15pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (kanan) pada program Semarak Cinta Rasul bersama jemaah menteri yang dilakukan secara sidang video di kediamannya hari ini. - Foto BERNAMA

PM, menteri sertai program Semarak Cinta Rasul secara sidang video

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menyertai program Semarak Cinta Rasul bersama anggota Jemaah Menteri yang dilakukan secara sidang video.

Program yang bermula kira-kira 7.30 malam itu disertai Muhyiddin bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dari kediaman Perdana Menteri.

Menteri lain menyertainya dari pejabat atau kediaman masing-masing, antaranya Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam acara berlangsung hampir sejam yang dibimbing oleh Luqman itu, Perdana Menteri serta menteri terbabit mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan zikir munajat.

Majlis diakhiri dengan doa kesejahteraan kepada rakyat, barisan hadapan dan negara Malaysia oleh Luqman.

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) itu disiarkan secara langsung dalam laman Facebook rasmi Perdana Menteri dan JAKIM. - BERNAMA

Berita Harian X