Jumaat, 13 November 2020 | 7:17pm

379 ditahan ingkar SOP PKPP semalam

KUALA LUMPUR: Polis menahan 379 individu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah keseluruhan tangkapan itu, seramai 370 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar SOP yang dilakukan itu termasuk 103 kes tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (88) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (65).

"Kesalahan lain adalah merentas daerah dan negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (42), aktiviti pusat hiburan (25) dan 56 lain-lain kesalahan," katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya sebanyak 2,963 Pasukan Petugas Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada 13,551 anggota, melakukan 59,626 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP di seluruh negara.

"Sebanyak 3,713 pasar raya, 4,925 restoran, 1,444 kilang, 1,751 pasar awam dan pasar tani, 3,015 tempat ibadah serta 1,224 tempat riadah sudah diperiksa.

"Pasukan Petugas juga akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan lapan kenderaan dirampas menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X