Rabu, 11 November 2020 | 7:45pm
Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PDRM melakukan pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP. - Foto NSTP / Mohd Yusni Ariffin
Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PDRM melakukan pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP. - Foto NSTP / Mohd Yusni Ariffin

536 kena tahan ingkar PKPP

KUALA LUMPUR: Seramai 536 invididu ditahan atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu 527 individu dikenakan kompaun, lapan direman dan seorang lagi dijamin.

Selain itu, beliau berkata operasi pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa SOP PKPP juga dijalankan di seluruh negara oleh Pasukan Petugas Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (134), premis gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (107), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153).

"Kesalahan lain termasuk rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (40), aktiviti pusat hiburan (lapan) dan lain-lain (57)," katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan, sebanyak 3,231 pasar raya, 4,511 restoran, 1,119 kilang, 1,852 pasar awam atau tani dan 1,283 tempat riadah diperiksa.

"Sebanyak 2,774 Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PDRM terdiri 12,155 anggota melakukan 53,488 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP di seluruh negara.

"Pasukan petugas akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X