Selasa, 10 November 2020 | 9:11pm
Kakitangan Indah Water melakukan kerja-kerja rawatan di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsorium di Taman Velox. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Kakitangan Indah Water melakukan kerja-kerja rawatan di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsorium di Taman Velox. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Polis siasat pencemaran bau loji rawatan kumbahan IWK

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat isu pencemaran bau di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang dipercayai menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata pihaknya membuka kertas siasatan selepas menerima satu laporan daripada seorang penguat kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada jam 3 petang tadi, mengenai isu pencemaran itu.

"Siasatan awal pihak LUAS mendapati air di loji itu disyaki mengandungi bahan 'solvent' (cecair pelarut) hingga ke tahap 8 TON (ukuran kadar bau).

"Ia mengakibatkan bekalan air terpaksa ditutup hingga kerja pembersihan selesai.

"Sehubungan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan IWK menafikan dakwaan syarikat itu menjadi punca pencemaran sehingga mengakibatkan loji berkenaan dihenti tugas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam dipetik berkata, pencemaran itu berpunca daripada sisa buangan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian pula dilaporkan berkata, terdapat pembuangan sisa industri ke dalam lurang pembentungan di kawasan industri berhampiran loji rawatan kumbahan IWK itu.

Berita Harian X