Selasa, 10 November 2020 | 8:30pm
Kakitangan Indah Water Konsortium (IWK) memantau kerja-kerja rawatan di Loji Rawatan Kumbahan IWK di Taman Velox hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Kakitangan Indah Water Konsortium (IWK) memantau kerja-kerja rawatan di Loji Rawatan Kumbahan IWK di Taman Velox hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias

IWK nafi punca pencemaran

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) menafikan dakwaan syarikat itu menjadi punca pencemaran sehingga mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam, berkata pencemaran itu berpunca daripada sisa buangan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, IWK menghentikan pembebasan sisa kumbahan pada 4 November lalu, selepas mengesan sisa buangan haram dibuang dalam sistem pembentungannya.

"LRA yang terjejas terpaksa menghentikan aliran selama beberapa hari bagi mengelakkan tumpahan ke sistem perairan. Jika ini tidak dilaksanakan segera, kesan lebih buruk kepada alam sekitar akan berlaku.

"IWK juga melaksanakan rawatan menggunakan enzim bagi meneutralkan proses. Sepanjang tempoh itu, kami terpaksa melakukan proses rawatan air kumbahan di luar tapak.

"Sebaik kami menghentikan pembebasan sisa kumbahan bagi tujuan rawatan, kakitangan IWK terus memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Narendran berkata, pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang tuduhan tidak berasas sebaliknya usaha perlu dilakukan mengesan pihak yang melakukan perbuatan terbabit.

Pembuangan sisa industri ke dalam lurang pembentungan di kawasan industri berhampiran loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, di sini dipercayai menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata tindakan itu menyebabkan berlaku pencemaran bau di loji rawatan kumbahan IWK.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada unsur sabotaj menyebabkan pencemaran berlaku di kawasan terbabit.

Berita Harian X