Selasa, 10 November 2020 | 5:40pm

341 invididu ditahan ingkar arahan SOP PKPP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam menahan sebanyak 341 invididu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu 307 individu dikompaun manakala 33 direman dan dijamin.

Selain itu, beliau berkata operasi pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa SOP PKPP juga dijalankan di seluruh negara oleh Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PDRM.

"Antara kesalahan yang ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (116), premis gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (63), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (57), membawa penumpang berlebihan (37), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (31), aktiviti pusat hiburan (25) dan lain-lain (12).

"Semalam, sebanyak 2,674 Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PDRM yang terdiri daripada 12,128 anggota telah melakukan 53,770 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP di seluruh negara.

"Sebanyak 2,515 pasar raya, 4,409 restoran, 1,285 kilang, 1,836 pasar awam atau tani, 2,839 tempat ibadah serta 1,270 tempat riadah diperiksa," kata pada sidang media harian, hari ini.

Justeru, Ismail Sabri menegaskan pasukan petugas akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan.

Foto hiasan.-Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Foto hiasan.-Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X