Selasa, 10 November 2020 | 10:50am

BPR manfaatkan 8.1 juta penerima B40, bujang

KUALA LUMPUR: Inisiatif Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diperluaskan untuk memanfaatkan 8.1 juta penerima dari golongan B40 dan bujang dibuka untuk pendaftaran Januari depan dan akan mula dibayar sebelum Aidilfitri.

Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican, berkata Kementerian Kewangan (MOF) juga bersedia meneliti untuk menambah peruntukan BPR berjumlah RM6.5 bilion yang diumumkan ketika dibentangkan dalam Belanjawan 2021, Jumaat lalu.

"Kementerian Kewangan (MOF) sedia meneliti untuk menambah peruntukan BPR sekiranya wujud keperluan berbuat demikian.

"Ini dengan mengambil kira saiz penerima, situasi ekonomi dan wabak COVID-19 yang belum berakhir," katanya pada sidang media di Wisma BERNAMA, di sini semalam.

Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata, peruntukan diumumkan itu adalah berdasarkan unjuran MOF, namun kriteria tertentu masih ditetapkan bagi memastikan ia disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak.

Johan menjelaskan agihan BPR yang diumumkan dalam belanjawan diperluaskan kepada golongan bujang bawah 40 tahun, ditentukan berdasarkan julat gaji penerima yang dinaikkan daripada RM4,000 bagi kumpulan B40 dan RM2,000 untuk bujang, masing-masing menjadi RM5,000 dan RM2,500.

"Kenaikan dari segi julat yang layak menerima BPR dibuat dengan mengambil kira kaji selidik pendapatan isi rumah 2019, yang mana B40 ketika ini mencecah tahap RM5,000.

"Dengan perkembangan liputan golongan bujang dan kenaikan had RM5,000 (B40), ia bermakna jika BSH (Bantuan Sara Hidup) dulu hanya membabitkan 4.3 juta penerima, BPR kini akan memanfaatkan 8.1 juta penerima.

"Peruntukan BSH sebanyak RM5 bilion sebelum ini turut naik menjadi RM6.5 bilion di bawah BPR," katanya pada sidang media di Wisma BERNAMA, di sini semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat lalu, mengumumkan BSH diganti kepada BPR yang diperluaskan dan ditambah baik.

Antaranya, had umur individu bujang yang layak menerima BPR diturunkan kepada 21 tahun berbanding syarat sebelum ini 40 tahun.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021. - NSTP/Aizuddin Saad
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021. - NSTP/Aizuddin Saad

Johan berkata, oleh kerana liputan diperluaskan, mereka yang sudah ada dalam pangkalan data MOF akan terus menerima bantuan, manakala pemohon yang baharu boleh mendaftar apabila permohonan dibuka hujung Januari depan.

"Ini bagi memberi peluang kepada mereka yang layak tetapi belum mendaftar untuk memohon BPR," katanya.

Beliau berkata, bayaran BPR untuk tahun depan akan dibuat dua kali, dengan pembayaran pertama sebelum Aidilfitri.

Mengulas rungutan golongan M40 dalam Belanjawan 2021, Johan berkata, keutamaan kerajaan adalah membantu golongan berpendapatan rendah dan terjejas, termasuk orang kelainan upaya (OKU), bantuan anak-anak termiskin serta warga emas.

Katanya, golongan M40 masih menerima manfaat besar terutama dalam aspek pengurangan dan pengecualian cukai serta bantuan kehilangan pekerjaan yang turut dialami.

"Ia bukan bermaksud kita mengabaikan M40. Selain cukai dikurangkan satu mata peratusan bagi julat pendapatan RM50,001 hingga RM70,000, beberapa potongan dan pelepasan cukai diumumkan, bakal membantu M40 seperti pelepasan cukai berkaitan gaya hidup dinaikkan daripada RM2,500 ke RM3,000.

"Bagi mereka yang menjaga ibu bapa, pelepasan naik daripada RM5,000 ke RM8,000.

"Ada juga aspek kesihatan menyentuh pelepasan baharu untuk pembekalan vaksin dan saringan, yang mana ada beberapa potongan dan pelepasan cukai untuk membantu M40," katanya.

Johan berkata, potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut dikurangkan tahap minimum daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

Katanya, potongan yang mungkin berjumlah sehingga RM9 bilion itu lebih memanfaatkan golongan M40.

"Bagi bantuan pinjaman bersasar, walaupun tumpuan diberi kepada golongan B40, mereka yang berada dalam kelompok M40 yang kekurangan pendapatan turut dibantu.

"Mereka yang kehilangan pekerjaan diberi opsyen menjalankan latihan untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

"Kerajaan juga menambah baik layanan cukai untuk pampasan, yang mana sebelum ini cukai RM10,000 untuk setiap tahun perkhidmatan kini dinaikkan dua kali ganda kepada RM20,000 untuk setiap tahun perkhidmatan," katanya.

Di Kota Bharu, hampir 3,000 nelayan di Kelantan menyifatkan BPR memberi kelegaan besar untuk membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Apa yang paling menggusarkan ialah kemungkinan berdepan musim tengkujuh dalam tempoh penghujung tahun seperti ini dan tidak membolehkan mereka ke laut mencari rezeki.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Mohamed Shaam Abd Kadir. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Mohamed Shaam Abd Kadir. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Mohamed Shaam Abd Kadir, berkata semua nelayan di Kelantan layak menerima BPR yang diumumkan kerajaan.

"Kami sangat bersyukur apabila mendengar kerajaan akan memberi BPR dengan setiap keluarga mampu memperoleh sehingga RM1,800, berbanding RM1,500 menerusi BPN sebelum ini.

"Pertambahan RM300 itu besar kesannya buat keluarga nelayan seperti ini, termasuk simpanan untuk persediaan persekolahan awal tahun depan," katanya kepada BH, semalam.

Beliau berkata, kenaikan elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM250 kepada RM300 juga amat bermakna bagi penerima.

Berita Harian X