Jumaat, 6 November 2020 | 10:13pm

Belanjawan 2021: MPPK minta kerajaan timbang semula insentif mahasiswa

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) meminta kerajaan mempertimbang semula insentif untuk golongan mahasiswa dalam Belanjawan 2021.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata pihaknya kecewa kerana tiada pengumuman mengenai bantuan khas dalam belanjawan itu untuk mahasiswa, terutama ketika mereka berdepan pandemik COVID-19.

"Situasi ini menyebabkan ramai rakan mahasiswa di seluruh negara menyatakan keluhan dan kekecewaan mereka yang seakan-akan terpinggir dengan ketiadaan bantuan tambahan yang amat diharapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Amir Asyraf berkata, peruntukan sebanyak RM14.4 bilion untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilihat hanya memfokuskan kepada penambahbaikan infrastruktur universiti, naik taraf akses Malaysian Research & Education Network (MYREN), pengenalan skim pinjaman komputer riba untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelepasan cukai bagi simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

"Tiada pengumuman semula skim MyBrain, bantuan khas prihatin untuk golongan pelajar dan mahasiswa, bahkan tiada juga pengenalan Kad Prihatin Siswa dan baucar buku serta insentif untuk golongan pelajar yang menyewa di luar kampus.

"Skim MyBrain yang selama ini menjadi tunggak bagi negara melahirkan tenaga kerja mahir tempatan yang sekian lama tidak perkenalkan semula, adalah amat penting untuk memastikan negara tidak kekurangan tenaga kerja mahir pasca siswazah yang berinovatif dan berkepakaran tinggi.

"Selain itu, ketiadaan pengumuman bantuan kewangan khas bagi mahasiswa juga turut menimbulkan keresahan kerana ia amat diperlukan pada hari ini dalam berdepan situasi pandemik yang masih belum berakhir ini," katanya.

Muhammad Amir Asyraf berkata, ketiadaan pengumuman Kad Prihatin Siswa yang menawarkan diskaun khas seperti yang dituntut MPPK juga akan menambah kesulitan mahasiswa.

"Ketiadaan pengenalan insentif khas untuk pelajar yang menyewa di luar kampus juga akan menambah lagi beban kerana insentif itu membolehkan mereka menyewa dan mendapat akses pendidikan dalam talian yang lebih baik serta kondusif berbanding di rumah sendiri.

"Insentif ini juga akan dapat membantu mereka berdepan situasi di luar kawalan seperti yang perlu dihadapi hari ini," katanya.

Justeru, beliau berharap Kementerian Kewangan dapat menilai semula belanjawan bagi sektor pengajian tinggi dan memberikan tawaran yang lebih baik supaya kebajikan mahasiswa terpelihara.

"MPPK percaya pihak KPT sudah membawa segala cadangan yang diusulkan dan boleh diperhalusi dengan lebih baik oleh Kementerian Kewangan," katanya.

MPPK bagaimanapun menghargai usaha kerajaan melalui peruntukan RM50 juta untuk menaik taraf MYREN, yang akan meningkatkan kelajuan akses internet di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, yang sedikit sebanyak membantu pengajaran secara dalam talian.

"Selain itu, peruntukan sebanyak RM7.4 bilion bagi 2021 dan 2022 yang akan diberikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar turut disambut baik," katanya.

Berita Harian X