Sabtu, 31 Oktober 2020 | 4:22pm
(GAMBAR HIASAN) - Kajian agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di ibu kota, berada dalam kemiskinan mutlak dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi susulan pandemik COVID-19.
(GAMBAR HIASAN) - Kajian agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di ibu kota, berada dalam kemiskinan mutlak dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi susulan pandemik COVID-19.

Masyarakat ada peranan bantu golongan miskin mutlak

KUALA LUMPUR: Semua lapisan masyarakat disaran supaya membantu keluarga berpendapatan rendah di ibu kota yang dikenal pasti berada dalam kemiskinan mutlak ekoran pandemik COVID-19.

Ini kerana, tanggungjawab membantu golongan berkenaan tidak terletak sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya perlu dipikul bersama dengan semua pihak berkemampuan.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Prof Dr Laily Paim, berkata tindakan itu adalah penyelesaian jangka pendek bagi mengelak golongan berkenaan terus melarat.

Sehubungan itu, katanya, ia memadai dengan pihak berkemampuan membantu menyediakan keperluan asas bagi golongan berkenaan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan harian mereka.

Terma kemiskinan mutlak digunakan bagi menjelaskan keadaan kemiskinan apabila seseorang tidak dapat mengadakan komoditi asas untuk menyokong kehidupan dan kegiatan normal lainnya.

"Kemiskinan mutlak ini berdasarkan pendapatan dan sememangnya ia dapat diatasi menerusi tindakan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Bagaimanapun, situasi semasa mengehadkan peluang golongan berkenaan menjana pendapatan.

"Justeru, ada keperluan supaya semua pihak berkemampuan, sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu pun orang persendirian tampil membantu golongan ini dengan menyediakan keperluan asas.

"Kerajaan memang ada peranan tersendiri, tetapi dalam keadaan semasa, situasi ini (kemiskinan mutlak) berlaku di luar faktor diri sendiri. Bukan mereka tak mahu bekerja, tetapi tidak boleh untuk berbuat demikian," katanya kepada BH, hari ini.

NGO serta orang persendirian perlu tampil membantu golongan miskin mutlak dengan menyediakan keperluan asas, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Prof Dr Laily Paim.
NGO serta orang persendirian perlu tampil membantu golongan miskin mutlak dengan menyediakan keperluan asas, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Prof Dr Laily Paim.

Semalam, BH melaporkan, kajian agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di ibu kota, berada dalam kemiskinan mutlak dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi, susulan pandemik COVID-19.

Itu adalah antara dapatan daripada kajian fasa kedua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di negara ini, sejak tempoh akhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga September lalu.

Dalam pada itu, Laily berkata, pihak pengurusan sekolah perlu mengenal pasti mana-mana pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang berisiko untuk berhenti sekolah ekoran kesan kewangan dan psikologi.

"Menerusi tindakan ini, pihak pengurusan sekolah boleh kenal pasti jenis bantuan diperlukan pelajar terbabit dan kaedah penyelesaian yang boleh ditawarkan kepada mereka.

"Peluang pendidikan mesti diberi kepada semua kanak-kanak dan ia sangat penting bagi mengelakkan rakyat keciciran. Ia tidak kira sama ada kita berada dalam keadaan pandemik atau sebaliknya," katanya.

Mengulas lanjut, Laily yang juga pakar ekonomi kepenggunaan dan masyarakat, tidak menolak kemungkinan satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah berada dalam kemiskinan mutlak turut berlaku di bandar besar lain di seluruh negara.

"Ini kerana, golongan B40 ada di seluruh negara dan tak mustahil mereka berdepan masalah sama sepanjang pandemik COVID-19, tambahan kesan penularan virus ini turut dirasai di tempat lain selain ibu kota," katanya.

Berita Harian X