Khamis, 29 Oktober 2020 | 7:09pm
Kakitangan Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu meneruskan operasi sanitasi dan nyah-cemar di Pasar Ikan dan Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
Kakitangan Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu meneruskan operasi sanitasi dan nyah-cemar di Pasar Ikan dan Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

Pusat kuarantin risiko rendah kedua dibuka

PUTRAJAYA: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) kedua, dibuka di Wilayah Persekutuan Labuan dan mula beroperasi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pembukaan PKRC kedua di Dewan Perbadanan Labuan itu untuk menampung kapasiti rawatan kes positif COVID-19 yang semakin meningkat di Labuan.

"PKRC ini mempunyai kapasiti sebanyak 140 katil menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di Labuan sebanyak 317 katil.

"Pola peningkatan kes COVID-19 di Labuan dijangka meningkat oleh saringan bersasar secara besar-besaran yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah kumulatif keseluruhan kes COVID-19 di Labuan ialah 392 kes dengan peningkatan mula direkodkan pada 27 September lalu.

Selain PKRC, Dr Noor Hisham berkata, Hospital Labuan pula menyediakan 20 katil untuk rawatan pesakit COVID-19 menjadikan keseluruhan katil bagi kemudahan itu ialah sebanyak 337.

Beliau berkata, 20 katil itu dikhususkan untuk pesakit kategori empat dan lima, iaitu sebagai katil 'high dependency unit' (HDU) dan unit rawatan rapi (ICU) di wad kelas pertama dan wad kanak-kanak.

"Baki sebanyak 102 lagi katil Hospital Labuan, iaitu termasuk lima katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan COVID-19, " katanya.

Beliau berkata, pola peningkatan kes COVID-19 di Labuan dijangka meningkat berikutan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan melaksanakan saringan bersasar secara besar-besaran dengan purata saringan 1,500 ke 2,500 sehari.

Katanya, jumlah sampel ujianReal-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang diambil sejak 27 September lalu berjumlah 23,807.

"Kadar pengesanan kes untuk keseluruhan di Labuan sekitar 1.5 peratus, manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pula, kadar pengesanan sekitar 10 sehingga 15 peratus, " katanya

Beliau berkata, jumlah kumulatif keseluruhan kes COVID-19 di Labuan ialah sebanyak 392 dengan peningkatan kes mula direkodkan pada 27 September lalu.

Katanya, susulan peningkatan itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan sejak 17 Oktober sehingga 13 November ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X