Selasa, 27 Oktober 2020 | 10:44pm
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto Mohd Fadli Hamzah

MCA sokong Agenda Perdamaian Nasional

KUALA LUMPUR: Inisiatif Rekonsilisasi Nasional Agenda Perdamaian Nasional yang UMNO mahu segera dilaksanakan wajar dilaksanakan untuk menghentikan 'politiking'.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata inisiatif itu bagus dan wajar dilaksanakan supaya dapat menumpukan perhatian kepada isu rakyat.

Katanya, inisiatif itu juga membolehkan parti sama-sama mencari kata sepakat dalam merencanakan segala projek dan skim bantuan demi kebaikan rakyat.

"Dengan itu akan merancakkan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam menghadapi pandemik COVID19," katanya kepada BH mengulas usaha mewujudkan inisiatif Rekonsilisasi Nasional Agenda Perdamaian Nasional oleh UMNO.

Semalam, UMNO memutuskan untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Dengan keputusan itu, UMNO mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik COVID-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

Ka Siong berkata, Belanjawan 2021 perlu diluluskan segera tanpa percaturan politik demi membantu rakyat yang hidup dalam keadaan susah akibat dari penularan wabak COVID-19.

Berita Harian X