Ahad, 25 Oktober 2020 | 7:09pm
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto BERNAMA

Pegawai ingkar arahan bekerja dari rumah berdepan tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR: Semua petugas perkhidmatan awam yang melanggar peraturan Bekerja Dari Rumah (BDR) akan dikenakan tindakan tatatertib, selaras dengan Peraturan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, JPA pada 21 Oktober lalu mengeluarkan Surat Edaran berhubung Arahan Kehadiran Bertugas Pegawai Perkhidmatan Awam

Persekutuan di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut beliau, surat berkenaan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi menyokong usaha kerajaan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

"Surat Edaran berkenaan perlu dibaca dan dilaksanakan selaras dengan itu mengenai arahan Bekerja Dari Rumah Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan Penutupan Premis Kerajaan bertarikh 17 Mac.

"Sebagaimana Surat Edaran bertarikh 21 Oktober lalu, kehadiran sebilangan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan ke pejabat adalah pada tahap dikawal oleh ketua jabatan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan asas kementerian atau agensi tidak terjejas dan berterusan dapat dicapai oleh pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata, mana-mana pegawai Perkhidmatan Awam

Persekutuan diarahkan atau dibenarkan BDR perlu mematuhi arahan peraturan BDR sebagaimana Surat Edaran JPA bertarikh 17 Mac.

Mengulas lanjut beliau berkata, mereka perlu sentiasa berada di rumah dalam tempoh waktu bekerja yang ditetapkan, sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh Ketua Jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain dan boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.

"Ketua Jabatan boleh menetapkan kaedah pemantauan masing-masing dalam memastikan serta menyemak keberadaan semua pegawai di pejabat, rumah atau mana-mana lokasi diarahkan.

"Mana-mana pegawai melanggar peraturan atau undang-undang dan dikenakan hukuman oleh mahkamah atau dikompaun pihak berkuasa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tindakan tatatertib boleh juga diambil ke atas mereka kerana kesalahan mencemarkan nama

Perkhidmatan Awam," katanya.

Mohd Khairul Adib menarik perhatian, ketua jabatan perlu memastikan semua pegawai sama ada di pejabat atau bertugas secara BDR mempunyai tugasan seimbang seperti mana lazim.

"Semua tugasan yang diberi perlu mempunyai output atau keperluan pencapaian yang jelas untuk memudahkan urusan pemantauan.

"Arahan ini juga dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan yang dikenakan PKPB sehingga tamat tempoh PKPB, tertakluk kepada mana-mana arahan yang akan diumumkan oleh kerajaan," katanya.

Berita Harian X