X
Sabtu, 24 Oktober 2020 | 4:00pm
Antiviral Remdesivir diluluskan FDA untuk rawatan COVID-19, namun didapati tidak membantu kurangkan kes kematian akibat virus itu.
Antiviral Remdesivir diluluskan FDA untuk rawatan COVID-19, namun didapati tidak membantu kurangkan kes kematian akibat virus itu.

Langkah Malaysia tak guna Remdesivir tepat

PUTRAJAYA: Pakar kesihatan awam menyifatkan Malaysia membuat keputusan tepat untuk tidak menggunakan ubat antiviral Remdesivir bagi merawat COVID-19 di negara ini.

Ia susulan beberapa kajian sebelum ini membuktikan penggunaan ubat itu tidak berkesan dalam merawat pesakit COVID-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak berkenaan.

Pensyarah Kanan di Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Nurhafiza Zainal, berkata kajian diterbitkan 'American Society for Microbiology' menyatakan penggunaan Remdesivir hanya efektif jika diberikan kepada pesakit di peringkat awal jangkitan COVID-19, secara spesifiknya sebelum lapan jam selepas permulaan jangkitan.

"Sifat jangkitan SARS-CoV-2 atau virus dalam COVID-19 ini mengambil masa antara empat hingga 14 hari untuk menunjukkan simptom, maka penggunaan Remdesivir yang efektif hampir mustahil.

"Ia hanya efektif jika ubat ini diberikan setiap hari seperti kita mengambil makanan tambahan, namun impak negatif mengambil ubat ini dalam jumlah tinggi masih belum diketahui," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan Remdesivir bagi rawatan COVID-19, Dr Nurhafiza berkata kelulusan itu dibuat hanya berbekalkan bukti kajian terhad kerana tekanan politik.

Malah, beliau berkata AS juga dilihat terdesak mencari penawar COVID-19 kerana negara berkenaan kini mempunyai kes sangat tinggi iaitu hampir lapan juta kes serta 250,000 kematian dicatatkan.

"Terdapat beberapa kajian klinikal di USA menunjukkan kesan ubat ini yang sederhana. Contohnya kajian percubaan Remdesivir oleh Institut Kesihatan Nasional AS membabitkan 1,000 pesakit, ia menunjukkan ubat ini dapat mempercepatkan masa penyembuhan tetapi tidak membantu mengurangkan kes kematian.

"Jadi Malaysia membuat keputusan tepat untuk tidak menggunakan ubat ini kerana ia ternyata kurang berkesan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan FDA meluluskan Remdesivir keluaran Gilead Sciences (Gilead) untuk rawatan COVID-19 dan sebaik diberi kelulusan penuh akan menjadi 'tulang belakang kombinasi terapi antivirus' yang dikaji Institut Kesihatan Nasional AS.

Remdesivir diluluskan untuk pesakit berusia 12 tahun ke atas dan kebenaran penggunaan kecemasan sementara bagi merawat individu lebih muda dengan berat lebih 7.7 paun (3.5 kilogram).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X