Jumaat, 23 Oktober 2020 | 5:56pm

26 lagi warga Sekolah Tinggi Islam As-Sofa disahkan positif COVID-19

SEREMBAN: Seramai 26 individu lagi membabitkan, 18 pelajar dan lapan kakitangan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) yang beroperasi di Jalan Bunga Tanjung 1/1, Taman Perindustrian Senawang dekat sini, disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak yang mengesahkan perkara itu berkata, pertambahan baharu bilangan mereka yang positif COVID-19 itu adalah hasil ujian saringan yang baharu diperoleh.

"Kami ingin memaklumkan bahawa keputusan lanjut hasil ujian saringan yang dilakukan mendapati, terdapat pertambahan baharu seramai 26 individu disahkan positif COVID-19.

"Keputusan ini diperoleh hasil laporan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kepada pihak sekolah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu difahamkan, 33 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19 daripada keseluruhan 84 pelajar yang mengambil ujian saringan sebelum ini.

Bermula 21 Oktober lalu, STIAS ditutup selama 14 hari susulan seorang pelajar sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19.

Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah dan tindakan yang berpandukan nasihat pihak KKM dengan menempatkan pelajar positif di bilik khas.

Beliau berkata, mereka diasingkan daripada pelajar dan guru yang masih menunggu keputusan ujian saringan manakala segala kemudahan harian mereka turut diasingkan.

"Pelajar harian yang tidak menetap di asrama juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di sekolah, sementara menunggu keputusan ujian saringan bagi mengelakkan jangkitan ini tersebar ke luar kawasan sekolah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan Yayasan Sofa dan Kumpulan Pendidikan Muhammadiah (MUTIM), yang banyak membantu dalam memastikan kebajikan pelajar dan guru terjaga.

"Di samping memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk semua warga yang sedang dikuarantin, yayasan dan MUTIM juga turut mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan makanan kepada ahli keluarga warga kerja sekolah yang sedang dikuarantin di rumah masing-masing," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengikuti segala langkah yang disyorkan KKM dan akan sentiasa mematuhi segala arahan pihak berkuasa dengan mengambil langkah penjagaan lebih ketat untuk mengelak penyebaran wabak ini.

Sepanjang tempoh kuarantin ini katanya, pihak sekolah terus menyusun rutin harian pelajar di mana mereka akan solat secara berjemaah dengan mematuhi SOP penjarakan fizikal, mengulang hafalan al-Quran dan mengulangkaji pengajian akademik mereka di tempat masing-masing.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Sebahagian pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa yang positif dibawa keluar ke pusat kuarantin berikutan terdapat kakitangan dan pelajar sekolah itu disahkan positif COVID-19. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminunddin
    Sebahagian pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa yang positif dibawa keluar ke pusat kuarantin berikutan terdapat kakitangan dan pelajar sekolah itu disahkan positif COVID-19. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminunddin
    Berita Harian X