Khamis, 22 Oktober 2020 | 5:57pm

MITI guna grafik perjelaskan arahan BDR

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyediakan infografik Bekerja Dari Rumah (BDR), bagi memudahkan pemahaman serta operasi ekonomi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dasar yang diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelmarin dan berkuat kuasa hari ini, diwajibkan kepada pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Labuan, Sabah.

Berdasarkan infografik itu, pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan, masih dibenarkan hadir ke pejabat jika perlu, namun beroperasi pada kapasiti 10 peratus dan waktu kerja terhad.

Pekerja yang menjalankan skop tugas pentadbiran, perakaunan, kewangan, perundangan, perancangan dan teknologi maklumat serta komunikasi hanya dibenarkan berada di pejabat selama empat jam, dari jam 10 pagi hingga 2 petang, tiga kali seminggu.

Bertujuan mengemukakan perincian lebih lanjut, MITI turut memberikan contoh situasi amalan BDR bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19, menerusi infografik berkenaan.

Mengambil contoh situasi dalam Industri pembuatan, syarikat A secara keseluruhannya mempunyai 1,000 kakitangan yang berkhidmat sektor operasi, manakala 100 lagi adalah pekerja di bahagian pengurusan dan penyeliaan.

Sehubungan itu, lazimnya persoalan berkaitan siapa yang perlu BDR mula timbul susulan arahan kerajaan supaya sektor awam dan swasta mengamalkan dasar berkenaan.

Berdasarkan skop kerja, seramai 1,000 kakitangan yang berkhidmat di sektor operasi syarikat A dibenarkan bekerja seperti biasa dan tidak perlu mengamalkan dasar BDR.

Bagaimanapun, hanya 10 peratus atau 10 orang daripada pekerja di bahagian pengurusan dan penyeliaan syarikat A dibenarkan beroperasi dari pejabat, mengikut had waktu yang disarankan.

Sekiranya perkiraan dibuat berdasarkan situasi yang dipaparkan menerusi infografik MITI, hanya 8.18 peratus daripada keseluruhan 1,100 pekerja di syarikat A perlu mengamalkan dasar BDR.

Selebihnya, seramai 1,010 orang atau 91.82 peratus masih dibenarkan beroperasi di lapangan atau pejabat, mengikut bidang tugas masing-masing, dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Berita Harian X