Khamis, 22 Oktober 2020 | 5:07pm
Eksekutif Pemasaran, A'dilah Zafirah Zainal, 26, tekun melaksanakan kerja dari rumahnya di Bangi, selaras arahan kerajaan bagi kawasan dalam penguatkuasaan PKPB. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Eksekutif Pemasaran, A'dilah Zafirah Zainal, 26, tekun melaksanakan kerja dari rumahnya di Bangi, selaras arahan kerajaan bagi kawasan dalam penguatkuasaan PKPB. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Pekerja swasta bimbang risiko dipotong gaji - MTUC

KUALA LUMPUR: Rungutan pekerja swasta yang berkhidmat di bahagian pengurusan dan penyeliaan mula kedengaran pada hari pertama pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR).

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata rata-rata golongan pekerja itu bimbang episod yang pernah berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara pada 18 Mac lalu akan berulang.

Ketika perintah itu pertama kali berkuat kuasa dan kakitangan swasta terpaksa bekerja dari rumah, beliau berkata, isu berkaitan gaji mula timbul sehingga menjejaskan pendapatan sekeluarga.

"Hampir 500,000 aduan diterima masa itu apabila majikan memotong gaji mereka kerana amalan bekerja dari rumah bercanggah dengan tiga peruntukan perundangan.

"Oleh itu, mereka tidak menerima gaji mengikut kadar biasa seperti bekerja di pejabat, sekali gus menyebabkan ramai kakitangan swasta dihimpit pelbagai masalah kewangan.

"Apabila kerajaan mewajibkan 10 peratus daripada kakitangan di bahagian pengurusan dan penyeliaan untuk bekerja dari rumah, mereka bimbang jika majikan sekali lagi membuat pemotongan gaji.

"Isu sama juga timbul membabitkan pekerja yang berkhidmat di pejabat tetapi mengikut waktu operasi yang dihadkan seperti pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin mengumumkan pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta penyeliaan dalam Zon Merah di kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), diarah bekerja di rumah berkuat kuasa, hari ini.

Arahan terbaharu bagi mengekang penularan dan kewujudan kluster baharu COVID-19 di tempat kerja itu meliputi satu juta kakitangan di kedua-dua sektor di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam pula mengumumkan pekerja bidang pengurusan dan penyeliaan dalam kawasan pelaksanaan PKPB hanya perlu bekerja di pejabat tiga kali seminggu untuk tempoh 4 jam bermula 10 pagi hingga 2 petang, berkuat kuasa hari ini.

Abdul Halim berkata kepentingan penjawat awam meskipun diarahkan untuk beroperasi dari rumah sentiasa dilindungi kerajaan, tetapi kakitangan swasta dinilai berdasarkan prestasi dan produktiviti mereka.

Sehubungan itu, katanya, arahan terbaharu kerajaan berhubung BDR dan langkah mengehadkan waktu operasi bercanggah dengan tiga peruntukan perundangan, iaitu Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

"Apa yang ingin dilakukan kerajaan adalah langkah positif iaitu bagi menangani penularan jangkitan COVID-19, namun tanpa disedari, percaturannya tidak selari kaedah pengoperasian di sektor swasta.

"Kita kena ingat BDR ini bukan seperti membawa balik kerja dari pejabat untuk di habiskan di rumah, sebaliknya arahan untuk beroperasi dari rumah.

"Kalau tiada kerja yang diberikan sepanjang mereka berada di rumah, adakah syarikat pada ketika itu boleh memotong atau tidak membayar gaji pekerja?

"Semua ini adalah antara risiko yang perlu dihadapi, walaupun MTUC pernah utarakan kebimbangan ini kepada kerajaan sebelum ini, malangnya ia tidak diendahkan," katanya.

Berita Harian X