Khamis, 22 Oktober 2020 | 4:37pm
PN dan MN boleh berunding ketika UMNO membuat gencatan politik. Foto NSTP
PN dan MN boleh berunding ketika UMNO membuat gencatan politik. Foto NSTP

Gencatan politik tempoh sesuai parti berdamai, berunding

KUALA LUMPUR: 'Gencatan politik' dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dilihat sebagai tempoh paling sesuai untuk semua parti berdamai disusuli dengan 'tawar-menawar' kehendak demi kebaikan semua pihak.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr S Sivamurugan Pandian, berkata walaupun dilihat bersifat sementara, ia adalah langkah terbaik untuk Perikatan Nasional (PH) menyelesaikan segala masalah yang timbul.

"Gencatan politik ini bukan saja membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pemulihan kesihatan dan ekonomi negara, malah mengembalikan semula keyakinan antara pakatan parti politik yang ada.

"Tempoh yang ada ini peluang untuk semua pihak berunding dan memperbaiki apa saja isu dibawa. Ia adalah tempoh bagi rundingan serta 'tawar-menawar'," katanya kepadanya BH, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid turut berkata parti itu akan melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, konflik dalaman PN berkemungkinan akan reda atau kembali berulang sekiranya semua parti tidak mengambil kesempatan menyelesaikan segala pertikaian yang timbul.

"Kita lihat kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menghormati keputusan Ahmad Zahid. Ini menampakkan kesediaan setiap parti untuk membelakangkan isu rasa tidak puas hati, undi tidak percaya dan pertukaran kerajaan demi mengutamakan rakyat.

"Bagaimanapun, gencatan ini tidak bermakna tidak akan berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) kerana situasi (COVID-19, ekonomi) dalam negara kembali pulih, desakan ini akan kembali," katanya.

Sementara itu, penganalisis Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid berkata, gencatan senjata dipilih UMNO memberi tempoh bertenang kepada situasi politik negara.

"Langkah ini memberikan keyakinan kepada PN ia masih mendapat sokongan majoriti, meskipun tipis dalam parlimen. UMNO pastinya mengharapkan setiap Ahli Parlimen mereka patuh kepada pendirian itu," katanya.

Kata beliau, walaupun ramai mahukan PRU diadakan namun dalam keadaan sekarang rakyat atau pengundi tidak mahukan pilihan raya diadakan.

"Kita tahu jika Ahli Parlimen UMNO tidak memberi sokongan maka PN akan goyang tetapi dalam keadaan sekarang iaitu pandemik COVID-19 melanda, pengundi tidak mahukan PRU.

"Pengundi akan menyalahkan UMNO sekiranya PN goyang disebabkan enggan memberikan sokongan," katanya.

Berita Harian X