Khamis, 22 Oktober 2020 | 3:01pm
Keadaan trafik di Jalan Tun Razak di ibu negara lengang selepas kerajaan mengeluarkan arahan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan swasta di kawasan PKPB. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Keadaan trafik di Jalan Tun Razak di ibu negara lengang selepas kerajaan mengeluarkan arahan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan swasta di kawasan PKPB. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

BDR mula menjadi norma penjawat awam - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tiada menerima sebarang aduan atau rungutan pada hari pertama pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR).

Presidennya, Adnan Mat, menaruh kepercayaan pendekatan BDR itu berjalan lancar dalam pengurusan kerja penjawat awam sejak mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Katanya, peralihan kepada BDR yang mula menjadi norma kepada segelintir penjawat awam setakat ini tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, malah berupaya menyokong matlamat kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan di persekitaran kerja.

"Menerusi pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Tan Sri Mohd Khairul Abd Rahman), hanya 30 peratus daripada penjawat awam yang perlu berada di pejabat dan cara kerja ini tidak membabitkan sektor perkhidmatan kritikal.

"Oleh itu, urus tadbir sedemikian tidak merencatkan taraf perkhidmatan kepada rakyat, namun CUEPACS terbuka untuk menerima sebarang aduan atau rungutan sekiranya ada perkhidmatan yang terkesan.

"Menerusi aduan atau rungutan itu, kita akan cuba menambah baik kualiti perkhidmatan dan pengurusan kerja supaya proses perkhidmatan kepada rakyat sentiasa diberikan jaminan kerana kita faham masalah yang dihadapi ketika pandemik," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohd Khairul semalam dilaporkan berkata, hanya 30 peratus daripada jumlah maksimum pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dibenar berada di pejabat bermula hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Peraturan itu terpakai untuk negeri yang berada dalam PKPB iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Selangor, Putrajaya serta Sabah.

Menerusi pengoperasian pada tahap 30 peratus itu, ketua jabatan juga harus memastikan perkhidmatan asas agensi tidak terjejas dan berterusan dapat dicapai oleh pelanggan berdasarkan Piagam Pelanggan kementerian, jabatan atau agensi masing-masing.

Adnan berkata, pelaksanaan kali pertama BDR apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu, memberi tempoh mencukupi untuk penjawat awam membuat beberapa pengubahsuaian terhadap cara bekerja di luar pejabat.

Selain itu, beliau berkata, kelonggaran menerusi BDR memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam kalangan penjawat awam selepas taska dan sekolah ditutup.

"Ia proses timbal balik, tetapi dalam masa kita tidak boleh berkompromi dalam urusan kerja kerana ia perlu dijaga bagi memastikan rakyat masih mendapat perkhidmatan yang diperlukan.

"Apa yang penting sekarang ialah BDR ini dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19 dan kewujudan kluster baharu di persekitaran kerja, jadi kami sebagai penjawat awam akur dengan arahan dikeluarkan," katanya.

Berita Harian X