X
Khamis, 22 Oktober 2020 | 2:35pm

COVID-19: Sekolah Tinggi Islam As-Sofa ditutup 14 hari

SEREMBAN: Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) yang beroperasi di Jalan Bunga Tanjung 1/1, Taman Perindustrian Senawang dekat sini, ditutup selama 14 hari mulai semalam, susulan pelajarnya disahkan positif COVID-19.

Notis mengenai penutupan sekolah itu dikeluarkan pihak pentadbiran sekolah yang ditandatangani Murdirah Tahfiz, Tahfiz Rendah As-Sofa Seremban, Datin Yusmawati Kamaludin, bertarikh semalam.

Dalam notis yang ditujukan kepada ibu bapa atau penjaga pelajar, Yusmawati memaklumkan seorang pelajar STIAS Senawang telah disahkan positif COVID-19 pada 20 Oktober dengan gejala hilang deria rasa dan bau.

"Kini STIAS Senawang dalam pemantauan dan kawalan Klinik Kesihatan Senawang (KKS). Keseluruhan warga yang berada di premis sekolah telah dikuarantin 24 jam dan telah membuat ujian saringan.

"Sebagai langkah berhati-hati dengan menutup jalan kepada bahaya, maka pihak pengurusan tertinggi telah mengambil keputusan agar pelajar tahfiz harian dan asrama diberi cuti selama 14 hari mulai 22 Oktober hingga 4 November," katanya dalam notis yang dikeluarkan itu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya sepanjang cuti berkenaan, kelas secara dalam talian akan dijalankan.

Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Kawasan Perindustrian Senawang antara tiga sekolah yang diarahkan tutup, berikutan ada kes COVID-19 di sekolah itu.- Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Kawasan Perindustrian Senawang antara tiga sekolah yang diarahkan tutup, berikutan ada kes COVID-19 di sekolah itu.- Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Seorang pelajar mengambil barang keperluan yang diletakkan oleh ahli keluarga di hadapan pondok pengawal keselamatan. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Seorang pelajar mengambil barang keperluan yang diletakkan oleh ahli keluarga di hadapan pondok pengawal keselamatan. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Pihak pengurusan memohon ribuan kemaafan kepada ibu bapa kerana kesulitan yang dihadapi. Kami sentiasa mengutamakan keselamatan pelajar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola STIAS, Abdullah Abdol Razak berkata, pihak pengurusan sekolah itu telah mengambil tindakan pantas melakukan kuarantin kendiri terhadap pelajar dan kakitangan sekolah itu.

Beliau berkata, pihaknya tidak membenarkan mana-mana pihak untuk masuk ke kawasan sekolah sebaik sahaja mengetahui ada pelajarnya yang positif COVID-19.

"Seluruh kawasan sekolah sudah disanitasi dan kini sekolah sudah ditutup.

"Kami memohon seluruh umat Islam untuk mendoakan kesejahteraan seluruh warga STIAS Senawang dan kesejahteraan seluruh umat secara umumnya daripada ujian wabak COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • STIAS ditutup selama 14 hari mulai semalam, susulan pelajarnya disahkan positif COVID-19. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
    STIAS ditutup selama 14 hari mulai semalam, susulan pelajarnya disahkan positif COVID-19. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
    Berita Harian X