Khamis, 22 Oktober 2020 | 1:56pm
IBRAHIM Suffian. FOTO FILE NSTP
IBRAHIM Suffian. FOTO FILE NSTP

Gencatan politik penawar terbaik

KUALA LUMPUR: Keputusan mengadakan gencatan politik berupaya meredakan pertelagahan dan memberikan keyakinan bahawa kerajaan mendengar keluhan rakyat.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian, mengakui media sosial ketika ini sarat dengan sentimen negatif terhadap kerajaan, khususnya berkaitan keghairahan mengejar tampuk kuasa.

Bagaimanapun, katanya, suara sedemikian tidak mewakili keseluruhan rakyat Malaysia, sebaliknya mungkin wujud dalam kalangan penduduk di bandar dan mereka yang aktif di media sosial.

"Segmen masyarakat yang tidak puas hati ini tidak mewakili seluruh rakyat Malaysia, justeru saya percaya orang ramai khususnya Melayu secara keseluruhan masih menyatakan sokongan kepada kerajaan.

"Keputusan mengadakan gencatan politik adalah jalan terbaik dan tepat pada masanya kerana ia dapat meredakan ketegangan di peringkat kerajaan, sekali gus tumpuan berupaya diberikan terhadap usaha menangani pandemik COVID-19.

"Percaturan yang meredakan suhu politik ini bukan sekadar membabitkan parti politik yang membentuk blok kerajaan, sebaliknya turut terpakai kepada perbalahan dalaman UMNO ketika ini.

"Isu ini tercetus apabila tular surat sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan wujud ketegangan dalam UMNO, namun isyarat daripada Presiden semalam adalah penawar yang diberi kena pada masanya," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam mengumumkan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Isyarat menuntut perjanjian damai itu turut diiringi pendirian bahawa UMNO akan mendukung pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bagi menjamin kestabilan politik dan melancarkan urus tadbir kerajaan.

Ibrahim berkata, kestabilan politik adalah pemangkin yang sangat diperlukan ketika ini memandangkan kerajaan bergelut dalam menangani kesan pandemik COVID-19 dan melakukan persiapan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.

Bagaimanapun, katanya, gencatan politik tidak memberikan jaminan kerana dinamik keadaan semasa lazimnya bakal menghangatkan kembali pertikaian yang melanda sebelum ini, khususnya apabila Parlimen bersidang pada 2 November ini.

"Kalau ada kenyataan susulan daripada mana-mana pihak juga boleh kembali merugikan keadaan kerana bukan mudah untuk ahli politik melupakan sahaja apa yang berlaku dan 'move on' (buka lembaran baharu).

"Cuma, gencatan politik yang dibuat Ahmad Zahid semalam mungkin dapat mempertahankan sikit perancangan yang sedang hebat berlaku di belakang tirai ketika ini kerana kita masing-masing tidak tahu apa agenda mereka seterusnya.

"Jadi, episod selepas ini bakal membuktikan sama ada ahli politik dapat mengenepikan ego masing-masing dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan mereka atau kembali rancak menggerakkan pelan demi agenda peribadi.

"Dalam masa sama, kesempatan ini dapat dimanfaatkan (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) untuk kembali menjalin ukhuwah dalam kalangan parti komponen kerajaan," katanya.

Berita Harian X